
KUCHING: Padah menumbuk dan merosakkan pagar rumah jiran kerana tidak puas hati mangsa mengubah suai ketinggian dinding simen sempadan rumah, seorang lelaki didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh Atep, 46, bekerja sebagai pengawal keselamatan mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Zaiton Anuar.
Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, kerana mendatangkan kesakitan dengan menumbuk mangsa berusia 33 tahun.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Manakala, pertuduhan kedua, dia didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat merosakkan pagar rumah hingga mangsa dan menyebabkan kerugian RM100.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Bagi kedua-dua pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah beralamatkan Kampung Garung, sekitar jam 4.45 petang, 31 Julai Lalu.
Zaiton menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau penjara empat bulan bagi setiap pertuduhan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh diwakili seorang peguam.


