KUCHING: Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyifatkan Allahyarham Tun Daim Zainuddin sebagai seorang tokoh yang banyak berjasa kepada pembangunan negara.
“Allahyarham adalah seorang yang sangat sederhana, beliau banyak berjasa kepada pembangunan negara.
“Takziah kepada keluarga allahyarham,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian antara Perbadanan Kemajuan Industri Kayu Sarawak (PUSAKA) dengan Worldview Climate Solutions (Malaysia) Sdn Bhd di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Tun Daim, yang merupakan bekas Menteri Kewangan, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur hari ini pada usia 86 tahun.
Pemergian ahli politik veteran dan ahli perniagaan itu disahkan oleh peguamnya, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar, ketika menerima rawatan di hospital berkenaan sejak dua minggu lalu.
Tun Daim berkhidmat sebagai Menteri Kewangan sebanyak dua kali, yang pertama dari 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau memainkan peranan penting dalam mengurus ekonomi Malaysia dan melaksanakan pelarasan struktur.
Tun Daim kemudian kembali bagi penggal kedua dari 1999 hingga 2001, sekali lagi di bawah Tun Dr Mahathir, untuk menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia ketika itu.
Dilahirkan pada 29 April 1938 di Kedah, allahyarham pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama lima penggal antara 1982 hingga 2004.



