KUALA LUMPUR: Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali akan diberikan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara sebagai penghormatan atas jasa dan sumbangan beliau kepada negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sudah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara dan Panglima Angkatan Tentera membantu pengurusan serta melaksanakan istiadat berkenaan.
“Bagi pihak Kerajaan MADANI dan seluruh rakyat Malaysia, saya menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah atas pemergian Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali yang menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pagi tadi.
“Negara tetap mengenang sosok keibuan dan menghargai jasa Allahyarhamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anwar turut menyampaikan ingatan dan doa kepada suami Allahyarhamah, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta seluruh keluarga dalam menghadapi kehilangan berkenaan.
Beliau mendoakan agar Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarhamah, menerima segala amal baktinya dan menempatkan roh Allahyarhamah dalam kalangan orang yang beriman.



