KUCHING: Di sebalik ketabahan yang sering ditampilkan sebagai seorang pemimpin, Datuk Sri Nancy Shukri kini berdepan kehilangan paling bermakna dalam hidup apabila suami tercinta, Allahyarham Datuk Kamil Misuari, kembali ke rahmatullah di Kuala Lumpur, petang semalam.
Susulan pemergian itu, ucapan takziah dan doa terus mengalir daripada pelbagai pihak yang turut berkongsi rasa dukacita atas kehilangan tersebut.
Antara menzahirkan rasa simpati ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isterinya, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, yang merakamkan ucapan takziah kepada Nancy serta seluruh ahli keluarga.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Astana Sarawak, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan diterima segala amal kebajikannya, selain ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.
Mereka turut mendoakan agar Nancy dan seluruh ahli keluarga diberikan kekuatan, ketabahan serta kesabaran dalam menghadapi ujian yang amat berat itu.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Ampang, Kuala Lumpur pada jam 6.38 petang, Rabu, pada usia 65 tahun.
Pemergian Allahyarham bukan sahaja meninggalkan kesedihan mendalam kepada keluarga yang ditinggalkan, malah turut dirasai sahabat handai, kenalan serta mereka yang pernah mengenali beliau sepanjang hayatnya.
Dilahirkan di Lahad Datu, Sabah, Allahyarham merupakan anak keempat daripada tujuh beradik kepada Misuari Ariff dan Frika Abaka.
Hari ini, perjalanan terakhir Allahyarham membawanya pulang ke Bumi Kenyalang apabila jenazah diterbangkan dari Kuala Lumpur dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) pada 12.50 tengah hari.
Sesi penghormatan terakhir dan solat jenazah akan berlangsung pada 4.40 petang sebelum jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Samariang untuk dikebumikan.



