KUCHING: Dakwaan dokumen tular berkaitan cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sarawak tidak seharusnya dijadikan asas untuk membuat spekulasi sebelum keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diumumkan.
ADUN Batu Kitang, Datuk Lo Khere Chiang berkata, pelbagai khabar angin lokasi kerusi baharu tersebar sejak cadangan penambahan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) diumumkan, termasuk dakwaan bahawa Maong bakal diwujudkan sebagai kerusi baharu di bawah Parlimen Stampin.
“Sejak beberapa bulan lalu, saya mendengar pelbagai cerita. Ada yang pelbagai kawasan, ada yang menyebut Padawan, Mambong, Batu Kawah, dan kini timbul pula dakwaan mengenai Maong.
“Jangan rumitkan keadaan dan jangan membuat kesimpulan berdasarkan khabar angin. Kita tunggu keputusan rasmi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Jangan membuat spekulasi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan bangunan baharu Klinik Kesihatan Kota Padawan Batu 10, di sini, hari ini.
Lo berkata, beliau yakin SPR akan membuat keputusan terbaik bukan sahaja bagi kawasan Parlimen Stampin, malah untuk seluruh Sarawak.
Dalam pada itu, beliau sekali lagi menggesa Kerajaan Persekutuan supaya tidak lagi menangguhkan kelulusan cadangan penambahan 17 kerusi DUN baharu di Sarawak.



