SPAOH: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini dilihat sebagai laluan utama melahirkan tenaga mahir, bukan lagi dianggap sebagai pilihan kedua.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, pasaran pekerjaan masa kini semakin menuntut kemahiran tinggi khususnya dalam bidang teknologi digital, kejuruteraan, automasi perindustrian dan tenaga boleh diperbaharui.
“TVET adalah teras pembangunan negara kerana ia melahirkan ahli teknologi, jurutera mahir, profesional separuh berkemahiran dan juga usahawan berjaya. Pandangan bahawa ia sekadar pilihan kedua adalah tidak tepat,” katanya.
Rolland berkata demikian ketika berucap pada Program Outreach 2025 anjuran Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) di Dewan Masyarakat Spaoh, hari ini.
Menurutnya, ramai alumni institusi kemahiran di Sarawak telah mendapat tawaran pekerjaan sebelum menamatkan pengajian, malah ada yang berjaya menyandang jawatan penting di syarikat antarabangsa.
“Ini bukti bahawa pendidikan teknikal adalah keperluan masa depan yang mampu mengangkat taraf hidup rakyat,” katanya lagi.
Beliau menegaskan, kemahiran teknikal perlu dilengkapkan dengan kemahiran digital dan keusahawanan bagi membolehkan generasi muda mencipta nilai baharu dalam ekonomi digital.
Program Outreach MEITD 2025 bertujuan mendekati pelajar luar bandar bagi meningkatkan kesedaran mengenai peluang pendidikan tinggi dan latihan kemahiran, khususnya dalam bidang TVET.
Ia turut memberi pendedahan kepada ibu bapa serta warga pendidik mengenai inisiatif pendidikan kerajaan Sarawak. – TVS

