ARTIKEL

Tenaga Pengajar '5G Wireless Hardware Installation', CENTEXS Santubong, Wan Balkis Wan Mohd Shuhaimi (duduk tengah) memberikan penerangan kepada pelatih dalam sesi latihan industri di CENTEXS, Santubong.

TVET Inisiatif HRD Corp-CENTEXS tambah nilai pelatih dengan kemahiran teknikal, sijil industri diiktiraf antarabangsa

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) berupaya memberi nilai tambah untuk membolehkan pelatih bersaing dalam pasaran kerja.

CENTEXS melengkapkan pelatih dengan kemahiran teknikal serta sijil industri yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa.

Tenaga Pengajar ‘5G Wireless Hardware Installation’, CENTEXS Santubong, Wan Balkis Wan Mohd Shuhaimi (berdiri, lima kiri), merakam kenangan bersama pelajar TVET.

Menurut tenaga pengajar ‘5G Wireless Hardware Installation’, Wan Balkis Wan Mohd Shuhaimi, program TVET Inisiatif HRD Corp-CENTEXS memberi tumpuan kepada latihan amali sehingga 70 peratus untuk melengkapkan pelatih dengan pengetahuan serta kemahiran yang diperlukan dalam dunia pekerjaan.

“Kita tidak mahu pelajar hanya tahu teori dan menulis sahaja tanpa mengintegrasikan kemahiran praktikal yang relevan.

Pelatih TVET Inisiatif HRD Corp-CENTEXS, Sree Aran Subramaniam.

“Oleh itu, latihan di CENTEXS lebih banyak menekankan aspek praktikal, sejajar dengan keperluan Revolusi Industri 4.0,” katanya ketika ditemu bual pemberita di CENTEXS, hari ini.

Sebanyak 34 program latihan ditawarkan dalam pelbagai bidang di bawah TVET Inisiatif HRD Corp-CENTEXS kepada mereka yang memenuhi kriteria.

“Langkah ini bertujuan memberi peluang lebih luas kepada belia yang berminat dalam bidang kemahiran dan teknologi, khususnya program ‘5G Wireless Hardware Installation’,” jelasnya.

Menurutnya, program TVET Inisiatif HRD Corp-CENTEXS juga menawarkan tempoh latihan yang fleksibel, bergantung kepada bidang yang dipilih.

“’5G Wireless Hardware Installation’ dijalankan selama dua bulan, manakala program lain boleh mengambil masa antara satu setengah bulan hingga 10 bulan,” ujarnya.

Tambahnya, CENTEXS menyediakan fasiliti lengkap yang menekankan penggunaan peralatan sebenar daripada industri bertaraf dunia.

“Sepanjang tempoh latihan, pelatih diberikan pendedahan dalam penggunaan peralatan sama seperti di tempat kerja, iaitu dunia sebenar industri, bagi membiasakan mereka dengan suasana kerja sebenar,” tambahnya.

Jelasnya, kursus TVET Inisiatif HRD Corp-CENTEXS bukan sahaja menyentuh modul berkaitan industri tetapi juga pemerkasaan dalam kemahiran insaniah.

“Ini termasuk penulisan resume, persediaan temu duga, dan proposal, kemahiran berkomunikasi yang penting bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam industri luar,” katanya.

Sijil kelulusan TVET Inisiatif HRD Corp-CENTEXS juga diperakui oleh industri bertaraf antarabangsa.

“Ini memberi peluang kepada mereka yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan sijil tambahan yang biasanya mempunyai kos tinggi,” ujarnya.

Balkis menegaskan, dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi, TVET kini diiktiraf sebagai elemen penting dalam pembangunan modal insan negara.

“Latihan berasaskan industri seperti di CENTEXS bukan sahaja melahirkan tenaga kerja berkualiti, tetapi juga membantu negara memenuhi keperluan tenaga mahir dalam era digital ini yang diperlukan masa kini,” tambahnya.

Dalam pada itu, pelatih TVET, Sree Aran Subramaniam, berkata penyertaannya dalam program TVET Inisiatif HRD Corp-CENTEXS merupakan peluang yang sangat bernilai.

Menurutnya, ia dibiayai oleh fakulti, ditambah pula dengan sijil bertaraf antarabangsa yang menambah kebolehpasaran dalam industri.

“Persekitaran di sini menarik dan cara pengajaran juga sangat baik, dan saya tiada masalah untuk menyesuaikan diri ketika belajar di CENTEXS Sarawak,” katanya.

Pengambilan pertama pelatih bagi program TVET di bawah inisiatif baharu CENTEXS ini bermula pada Oktober 2024.

Ia bagi memenuhi permintaan tenaga kerja berkemahiran tinggi di negara ini.

Untuk makluman, sebanyak 90 peratus pelajar TVET di CENTEXS telah memperoleh pekerjaan sejurus sahaja menamatkan kursus.

Antara senarai pengkhususan yang terdapat di bawah program TVET Inisiatif HRD Corp-CENTEXS adalah teknologi hijau, e-sukan dan aeroangkasa.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU