KUCHING: Astana Negeri hari ini menerima dua kunjungan hormat daripada Majlis Pengakap Sarawak dan Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Datuk Mancha Ata.
Memetik perkongsian di media sosial Facebook Jabatan Penerangan Sarawak, kunjungan hormat pertama rombongan Majlis Pengakap Sarawak (MPS) yang diketuai oleh Yang Dipertuanya, Tan Sri Datuk William Mawan Ikom, disambut mesra oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Kunjungan itu bertujuan memperkenalkan Pesuruhjaya baharu MPS, John Lim Boon Beng, selain berkongsi maklumat perkembangan pembinaan Ibu Pejabat Pengakap Sarawak yang baharu di Jalan Batu Lintang.
Selain itu, ia juga menyentuh perkembangan terkini mengenai pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh MPS.
Dalam pertemuan itu, Tun Wan Junaidi menegaskan nilai berdisiplin dan bertanggungjawab, berkhidmat kepada masyarakat, kepercayaan, integriti dan menghormati alam sekitar.

Beliau juga menegaskan bahawa sikap toleransi dan perpaduan adalah asas penting dalam membentuk masyarakat yang lebih baik, bersatu padu dan bertanggungjawab.
Kepentingan nilai-nilai pengakap yang sentiasa relevan untuk diterapkan dalam kehidupan seharian bukan sahaja dapat membentuk peribadi unggul setiap individu, malah turut menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang harmoni dan progresif di Sarawak.
Kunjungan pertama itu diiringi Naib Yang Dipertua, Jumaat Ibrahim; Ketua Pesuruhjaya, John Lim Boon Beng; Timbalan Ketua Pesuruhjaya, Methodius Macdonald George Segie dan Lu Cho Heng; Penolong Ketua Pesuruhjaya, Abang Zulfikar Abang Zaini dan Kho Swee Aik serta Setiausaha Eksekutif, Zasran Abdullah.
Sementara itu, kunjungan kedua ialah kunjungan perpisahan daripada Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Datuk Mancha Ata yang ditemani oleh isteri, Datin Jennita William.
Datuk Mancha akan bersara pada 29 September ini selepas berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama lebih tiga dekad.
Beliau akan menyerahkan tugas kepada penggantinya iaitu Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkuat kuasa mulai 26 September ini.
Untuk rekod, beliau memulakan perkhidmatan di Perak dalam Pasukan Khas VAT69 selama hampir 30 tahun sebelum dinaikkan pangkat dan berpindah ke Sabah serta berkhidmat lebih tiga tahun sebagai Timbalan Komander Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah.
Datuk Mancha kemudian menyandang jawatan Komander Briged PGA Sarawak pada tahun 2000 hingga 2001 sebelum dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak pada tahun 2021 sehingga 2023.
Semasa kunjungan, Tun Wan Junaidi dan isteri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala jasa, sumbangan serta khidmat bakti Datuk Mancha sepanjang tempoh perkhidmatannya, khususnya dalam memastikan keselamatan dan keamanan di Sarawak sentiasa terpelihara.


