KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menekankan kepentingan tahap keselamatan perairan Sarawak, khususnya di kawasan Bintulu dan Miri, selaras dengan keperluan strategik pertahanan dan keselamatan negara.
Beliau menyuarakan pandangan itu seusai menerima kunjungan hormat Panglima Armada Barat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Madya Datuk Baharudin Wan Md Nor, bersama isteri, Datin Shafiqah Ismail, di kediaman rasmi Tun Pehin di Petra Jaya hari ini.
Tun Pehin Sri turut diiringi isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Dalam pertemuan itu, Laksamana Madya Datuk Baharudin bersama Ketua Pegawai Eksekutif Lumut Naval Shipyard (LUNAS) Sdn Bhd, Azhar Jumaat, menyampaikan taklimat kepada Tun Pehin dan Toh Puan mengenai kemajuan pembinaan Kapal Tempur Pesisir 3 (LCS 3) serta perkembangan semasa projek berkenaan.
Kunjungan hormat tersebut turut membawa agenda penyampaian warkah persilaan dan jemputan rasmi kepada Tun Pehin Sri dan Toh Puan untuk hadir sebagai tetamu kehormat bagi menyempurnakan Upacara Penamaan dan Pelancaran LCS 3 di Limbungan Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd, Perak, yang dijadualkan pada 9 Februari 2026.
Menurut tradisi maritim, pelantikan “Lady Sponsor” bagi upacara penamaan kapal merupakan penghormatan tertinggi yang melambangkan restu dan doa keselamatan kepada kapal serta seluruh warganya.
Turut hadir dalam kunjungan itu ialah Ketua Pengarah Pasukan Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship – LCS), Laksamana Pertama Ir Ts Franklin Jeyasekhar Joseph; Komander Ts Mohamad Idrus Mat Zain; serta beberapa pegawai kanan LUNAS dan TLDM.
Kehadiran Toh Puan bagi menyempurnakan upacara berkenaan kelak melambangkan sokongan padu kepimpinan Sarawak terhadap usaha memperkukuh kedaulatan maritim negara serta pembangunan industri pertahanan tempatan.
Tun Pehin Sri dan Toh Puan turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada TLDM dan LUNAS atas jemputan tersebut sambil mendoakan agar segala urusan serta penganjuran majlis itu berjalan lancar.


