KUCHING: Tanpa mengira bangsa dan agama, semua rakyat Sarawak diseru untuk bersama-sama meraikan sambutan Tahun Baharu Cina (TBC).
Demikian ucapan pertama Yang di-Pertuan Negeri, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika ditemui para pengamal media pada Rumah Terbuka TBC Peringkat Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
“Saya menjemput semua rakyat Sarawak tidak kira bangsa dan agama untuk bersama-sama meraikan Gong Xi Fa Cai,” katanya yang hadir ditemani isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Sambutan berskala besar yang julung kali diadakan oleh kerajaan negeri itu berlangsung meriah dengan dihadiri lebih 5,000 pelbagai lapisan masyarakat berbilang kaum.

Majlis yang bermula pada jam 9 pagi sehingga tiga petang itu dihadiri bukan sahaja oleh rakyat berbangsa Cina, tetapi juga komuniti Melayu, Iban, India, Dayak, Orang Ulu dan ramai lagi.
Perayaan yang mencerminkan kepelbagaian etknik di Sarawak itu turut diserikan dengan kehadiran Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, serta barisan Kabinet Negeri yang lain.
Para tetamu yang hadir bersama sahabat handai serta keluarga masing-masing dihidangkan dengan bermacam juadah seperti masakan kari ayam, rendang daging, ikan masak merah, sayur bunga teratai, kuih-muih dan banyak lagi.






