KUCHING: Stigma sesetengah masyarakat ke atas sektor pertanian dikaitkan dengan golongan miskin hendaklah diubah bagi menarik minat golongan belia dalam sektor berkenaan.
Pengarah Pendidikan Sarawak Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, sektor berkenaan harus diambil kira kerana keadaan dunia yang menghadapi isu keterjaminan makanan.
“Dahulu, orang kata mana-mana yang terlibat dalam sektor makanan dikategorikan sebagai golongan miskin.
“Kita harus menukar stigma tersebut kerana sektor pertanian kini menggunakan teknologi yang sangat tinggi.
“Mengambil contoh negara Jepun, status ekonomi paling tinggi ialah para petani dan peladang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui Suara Sarawak di pejabatnya di Jabatan Pendidikan Negeri hari ini.
Ujar Dr Azhar, stigma tersebut harus diubah kerana Sarawak mempunyai teknologi yang dapat mengeluarkan makanan serta mempunyai tanah yang luas.
Tegas beliau, penerapan pendidikan terhadap sektor pertanian amat penting untuk pelajar supaya mereka meminati bidang tersebut.
“Kita perlu memastikan pelajar memahami dan meminati sektor pertanian ini yang sangat menarik yang dapat menjana pendapatan tinggi,” katanya lagi.


