ARTIKEL

RAMPAS…Senjata yang digunakan dirampas bagi membantu siasatan.

Ugut Bunuh Adik, Lelaki Warga Asing Ditahan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Perselisihan faham dalam keluarga berakhir dengan penahanan seorang lelaki selepas didakwa mengugut untuk membunuh adik kandungnya sendiri dalam kejadian di sebuah ladang di Ulu Suai, Niah, pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Miri, Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kejadian itu dilaporkan oleh mangsa, seorang wanita warga asing berusia 35 tahun, yang tampil membuat laporan sekitar 1.44 tengah hari selepas mendakwa diancam menggunakan parang oleh abangnya berusia 37 tahun.

TAHAN…Lelaki warga asing ditahan atas kesalahan mengugut untuk membunuh adik kandungnya sendiri dalam kejadian di sebuah ladang di Ulu Suai, Niah, pada Selasa lalu.

“Bertindak segera atas laporan tersebut, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri melancarkan serbuan di sebuah pondok kebun berhampiran kawasan ladang sawit di Suai.

“Suspek berjaya diberkas tanpa sebarang pergelutan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Mohd Farhan, penemuan di lokasi serbuan menimbulkan kebimbangan lebih besar apabila polis menemukan sepucuk senapang patah buatan sendiri bersama dengan enam butir peluru selain parang yang dipercayai digunakan dalam insiden ugutan berkenaan.

Hasil ujian saringan air kencing katanya turut mendapati suspek positif dadah, sekali gus membuka kemungkinan wujudnya faktor penyalahgunaan bahan terlarang dalam kejadian tersebut.

“Suspek kini direman selama empat hari sehingga 27 April bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 berkaitan pemilikan senjata tanpa kebenaran.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi setiap kesalahan,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk ancaman keselamatan, khususnya yang melibatkan senjata api, termasuk buatan sendiri.

Sehubungan itu katanya, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan pemilikan atau penggunaan senjata api haram diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes atau mana-mana balai polis berhampiran.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU