KUCHING: Seorang lelaki tempatan berang kerana tidak diberikan wang yang diminta sanggup mengeluarkan kata-kata ugutan hendak membunuh bapanya sendiri dengan menbawa sebilah parang.
Namun demikian, Mohamad Hafizi, 32, bekerja sebagai penjual besi buruk itu dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Hafizi mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Mengikut pertuduhan, dia melakukan kesalahan itu dalam sebuah rumah di Kampung Sungai Maong, kira-kira jam 7 pagi, 25 September lepas.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, pengadu berusia 54 tahun sedang berehat di ruang tamu didatangi anaknya lalu meminta wang tetapi pengadu enggan memberikan wang yang diminta.
Berang tidak mendapat wang yang diminta, tertuduh lalu masuk ke dalam bilik kemudian keluar semula dengan memegang sebilah parang.
Melihat anaknya seperti itu, pengadu yang ketakutan lalu berlari keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.
Tertuduh kemudian pergi ke dapur melihat ibunya yang hanya mendiamkan diri seterusnya dia berkata ‘hah mun aku sik mati orang tua ya yang mati’ yang membawa maksud dalam bahasa Melayu
‘Kalau aku tak mati orang tua itu yang mati’ di hadapan ibunya.
Isteri pengadu menceritakan apa yang berlaku semasa pengadu melarikan diri yang kemudiannya kembali pulang ke rumah.
Pengadu berasa sangat takut dan terancam, tampil ke balai membuat laporan untuk keselamatan dan siasatan lanjut.
Tertuduh berjaya ditangkap pada 26 September lalu di kediaman mereka sekitar jam 2 petang.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Arman Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


