ARTIKEL

Jefferson ketika menerima lawatan rasmi dari delegasi UITM yang diketuai oleh Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri, Prof. Ir. Dr. Juferi Idris. FOTO: UKAS

UiTM rangka beberapa projek sejajar dengan visi kerajaan Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Cadangan beberapa projek pembangunan komuniti berimpak tinggi oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak menerima sambutan positif daripada Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat.

Dalam pertemuan beliau bersama delegasi UiTM yang diketuai oleh Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri, Prof. Ir. Dr. Juferi Idris, projek yang dirangka itu selari dengan agenda pembangunan negeri, khususnya dalam memperkasakan komuniti luar bandar melalui pendidikan, inovasi dan kolaborasi erat antara institusi akademik dengan agensi kerajaan ini.

Datuk Jefferson menyifatkan inisiatif yang diketengahkan oleh UiTM sebagai usaha yang proaktif dan bernilai tinggi kepada komuniti setempat.

“Cadangan ini bukan hanya membantu pelajar mempersiapkan diri untuk masa depan pekerjaan, tetapi turut membawa manfaat berpanjangan kepada masyarakat luar bandar,” katanya ketika hadir sesi pembentangan rasmi projek dari delegasi UITM di sini, hari ini.

Beliau menyatakan sokongan penuh terhadap projek tersebut dan memberi jaminan akan bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan berkaitan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.

Menurutnya lagi, langkah UiTM ini sejajar dengan visi kerajaan Sarawak yang mahu merancakkan pembangunan mampan serta meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Saya menggalakkan agar program ini diperluaskan ke daerah-daerah pedalaman lain, terutamanya kawasan yang memerlukan latihan kemahiran kritikal dan sokongan sosioekonomi.

“Saya juga akan bantu melancarkan kerjasama antara UiTM dan agensi-agensi kerajaan supaya keberkesanan pelaksanaan projek ini dapat dimaksimumkan,” ujarnya.

Jefferson, yang juga ADUN Bukit Goram menyifatkan kolaborasi seperti ini sebagai satu model kerjasama terbaik demi kemajuan Sarawak.

“Usaha seperti ini akan memperkasa bidang pendidikan, pelancongan, penyelidikan serta inovasi, seterusnya mendorong kemajuan sosioekonomi dan meningkatkan kualiti hidup komuniti luar bandar di negeri ini,” jelasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU