ARTIKEL

Poster Ekspo Selangkah Ke UiTM (ESKU) 2026

UiTM Sarawak Anjur ESKU 3 dan 4 April Ini

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Universiti Teknologi MARA (UiTM) mempelawa pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 serta individu yang berhasrat melanjutkan pengajian tinggi menghadiri Ekspo Selangkah Ke UiTM (ESKU) 2026 di Dewan Jubli, UiTM Cawangan Sarawak Kampus Samarahan pada 3 dan 4 April ini.

UiTM dalam kenyataan hari ini berkata, UiTM Cawangan Sarawak menawarkan pelbagai pilihan program akademik yang komprehensif.

Secara keseluruhan, kampus berkenaan menyediakan lima program pradiploma, 25 program diploma dan 13 program ijazah sarjana muda bagi pengajian sepenuh masa.

“Pengunjung turut berpeluang mendapatkan maklumat program pembelajaran jarak jauh melalui e-PJJ serta pengajian di peringkat ijazah lanjutan sepanjang ekspo berlangsung,” katanya.

Tambah kenyataan itu, dalam usaha memastikan akses pendidikan yang inklusif, pelajar lepasan SPM yang memperoleh keputusan kurang memberangsangkan turut digalakkan memohon melalui Program Prapendidikan Tinggi (PPT).

Program yang sebelum ini dikenali sebagai Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) itu merupakan laluan khas yang memberi peluang kedua kepada pelajar untuk menyambung pengajian dan membina masa depan lebih cerah.

“Melalui program berkenaan, pelajar akan dibekalkan dengan bimbingan serta asas akademik yang kukuh sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat diploma di fakulti berkaitan mengikut minat dan kelayakan masing-masing.

“Inisiatif peluang kedua ini terbukti berjaya melahirkan graduan yang berupaya meningkatkan taraf hidup dengan melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah,” tambah kenyataan itu.

Sehubungan itu, orang ramai disaran tidak melepaskan peluang menghadiri ekspo berkenaan bagi mendapatkan maklumat secara terus daripada wakil fakulti, pegawai akademik serta kaunselor pendidikan yang berada di lokasi sepanjang program berlangsung.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU