ARTIKEL

JUMPA… Jasad Denickles dijumpai sekitar jam 10.50 pagi tadi.

Ujian Bot Bertukar Tragedi! Pemuda Hilang Tiga Hari Ditemui Tidak Bernyawa

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BETONG: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) selama tiga hari berakhir dengan penemuan mayat seorang pemuda yang dikhuatiri lemas selepas bot yang diuji karam di Sungai Skrang, berhampiran Tr. Siti Tisak Ulu, di sini, Rabu lepas.

Mangsa, Denickles Lesen, 20, ditemukan pasukan penyelamat pada jam 10.50 pagi tadi, kira-kira 15 kilometer dari pos kawalan operasi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak berkata, identiti mangsa disahkan oleh ahli keluarga di lokasi kejadian sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Menurut maklumat awal, kejadian berlaku kira-kira jam 3.51 petang apabila mangsa dilaporkan menjalankan ujian bot laju di sungai berkenaan.

“Bot tersebut dipercayai karam secara tiba-tiba dan mangsa sempat dilihat terkapai-kapai sebelum hilang daripada pandangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah jurucakap itu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.12 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 21 kilometer dari balai berkenaan.

Katanya, operasi hari ketiga dimulakan seawal jam 7.30 pagi dengan melibatkan enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bersama Unit Anjing Pengesan (K9).

“Strategi pencarian dibahagikan kepada dua sektor, iaitu ke hilir dan ke hulu sungai dengan radius pencarian sejauh tujuh kilometer di permukaan air.

“Operasi turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA serta penduduk kampung yang menggunakan lima perahu persendirian.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sri Aman melalui laluan sungai untuk tindakan lanjut. Operasi SAR secara rasmi ditamatkan pada jam 12 tengah hari,” katanya lagi.

Pihak bomba menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti air, termasuk memastikan pemakaian jaket keselamatan serta memeriksa keadaan bot sebelum digunakan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

BERITA LAIN

6 NEGERI TERIMA RM21.26 BILION

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM21.26 bilion kepada enam negeri yang ketinggalan dari segi pembangunan di bawah Belanjawan 2027 dengan agihan mengambil kira

BERITA TERBARU