MIRI: Kerajaan Sarawak mengiktiraf peranan penting Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) serta para pengamal media tempatan dalam membantu menyebarkan berita sahih dan tepat terutama ketika penularan wabak COVID-19.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, agensi itu bersama-sama pengamal media berfungsi sebagai pengantara kerajaan dan rakyat.
“Kerjasama erat antara UKAS dan pengamal media memberi impak positif khasnya dalam menyalurkan maklumat, dasar dan bantuan kerajaan negeri untuk rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Tengah Hari Bersama Media sempena Tahun Baru Cina (TBC) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau mengakui bahawa pengamal media di sini juga turut memainkan peranan penting sebagai barisan hadapan dalam menyebarkan fakta serta maklumat dari kerajaan kepada rakyat.
“Para pengamal media tempatan termasuk UKAS sentiasa bergerak ke hadapan terutama sekali semasa penularan wabak COVID-19 dalam menyampaikan maklum balas positif terhadap dasar-dasar kerajaan.
“Justeru itu, kerjasama ini perlu dikekalkan kerana ia penting dalam mendepani cabaran masa kini berkaitan penyebaran maklumat palsu yang lebih mudah tersebar melalui platform media sosial,” ujarnya.
Justeru itu, beliau berharap agar UKAS dan pengamal media di sini sentiasa membina dan mengekalkan kerjasama erat demi kesejahteraan dan kemakmuran Sarawak.



