KUCHING: UMNO melancarkan Tabung Sumbangan bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak melunaskan denda RM50 juta susulan keputusan pengampunan bersyarat yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif itu dilaksanakan secara sukarela, telus dan teratur serta mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.
Ahmad Zahid turut menyeru ahli UMNO menyambut perkembangan berkenaan dengan rasa syukur, selain menjaga adab dalam setiap ungkapan dan menghormati segala proses yang ditetapkan.
UMNO menghargai keputusan berkenaan yang disifatkan bermakna buat Najib dan keluarganya serta ahli parti yang selama ini menaruh harapan terhadap perkembangan tersebut.
Dalam kenyataan sama, Ahmad Zahid merakamkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas keputusan berkenaan.
Menurutnya, pendirian UMNO sejak awal adalah membawa permohonan berkenaan melalui saluran yang ditetapkan dengan tertib dan rendah hati, selain menghormati institusi Raja, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya di Istana Negara, hari ini.

