ARTIKEL

PASUKAN UNIFIL melakukan rondaan di sekitar bandar Lubnan. | AFP

UNIFIL serah pos kawalan kepada tentera Lubnan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BEIRUT: Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) mula menyerahkan beberapa pos kawalannya di selatan Lubnan kepada tentera negara itu sebagai persediaan menjelang penamatan mandat pasukan pengaman berkenaan.

Menurut laporan Anadolu Ajansi yang memetik Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA), Ketua Misi UNIFIL Diodato Abagnara pada Sabtu menekankan kepentingan memastikan tiada kekosongan keselamatan berlaku selepas misi itu berakhir.

Bercakap pada pertemuan bersama-sama lebih 70 wanita daripada komuniti setempat di bandar Tyre, selatan Lubnan, beliau berkata, tugas utama pasukan itu perlu diteruskan, termasuk memantau dan melaporkan pelanggaran, menyalurkan bantuan kemanusiaan, melindungi orang awam serta menyokong komuniti tempatan dan golongan wanita.

Abagnara berkata, masa depan kehadiran PBB di selatan Lubnan bergantung kepada keputusan Majlis Keselamatan PBB.

Beliau turut menyifatkan pendudukan berterusan Israel di beberapa kawasan selatan Lubnan sebagai pelanggaran jelas terhadap Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB, sambil menegaskan bahawa anggota pengaman akan terus melaksanakan tugas sehingga hari terakhir mandat mereka.

UNIFIL ditempatkan di selatan Lubnan sejak 1978, manakala Resolusi 1701 memperluas mandatnya pada 2006 bagi merangkumi pemantauan pemberhentian permusuhan dan menyokong penempatan tentera Lubnan di selatan Sungai Litani.

Pada Ogos 2025, Majlis Keselamatan PBB melanjutkan mandat UNIFIL buat kali terakhir sehingga 31 Disember 2026, dengan pengunduran pasukan itu secara berperingkat-peringkat dijadual bermula pada 2027.

Israel terus melancarkan serangan di Lubnan meskipun gencatan senjata berkuat kuasa sejak 17 April.

Menerusi kerangka perjanjian yang dimeterai pada 26 Jun dengan pengantaraan AS, Lubnan dan Israel bersetuju melaksanakan proses berperingkat pengunduran Israel dari wilayah Lubnan dengan pemulihan kawalan tentera Lubnan serta pelucutan senjata kumpulan bersenjata bukan negara yang disahkan.

Kementerian Kesihatan Lubnan merekodkan sekurang-kurangnya 4,390 kematian antara 2 Mac hingga 5 November, manakala Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) memaklumkan jumlah penduduk yang kehilangan tempat tinggal mencecah lebih 1.2 juta orang. -Bernama-Anadolu

BERITA LAIN

Berenang di Selat Hormuz

LONDON: Perenang jarak jauh Britain Lewis Pugh berenang merentasi Selat Hormuz ketika serangan terhadap kapal tangki minyak berterusan bagi menarik perhatian terhadap kesan buruk perang

Cubaan seludup emas RM14 juta gagal

JAKARTA: Pihak berkuasa kastam Indonesia menggagalkan cubaan menyeludup sejumlah 25.8 kilogram (kg) emas bernilai kira-kira Rp62.5 bilion (RM14.06 juta) ke Malaysia dalam tiga kes berasingan

BERITA TERBARU

DBKU, PDRM SARAWAK perkukuh kerjasama

DEWAN Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mengadakan kunjungan hormat kepada Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Saifullizan Ishak bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam aspek keselamatan dan ketenteraman awam

Berenang di Selat Hormuz

LONDON: Perenang jarak jauh Britain Lewis Pugh berenang merentasi Selat Hormuz ketika serangan terhadap kapal tangki minyak berterusan bagi menarik perhatian terhadap kesan buruk perang