BINTULU: Peruntukan sebanyak RM95,000 yang disalurkan kepada Persatuan Penganut Kristian Pengharapan Bintulu (Hope Church Bintulu) menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam membantu pembangunan institusi keagamaan pelbagai komuniti di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, bantuan itu bukan sahaja dapat memenuhi keperluan semasa gereja berkenaan, malah menjadi asas kepada perancangan pembangunan yang lebih besar pada masa hadapan.
Beliau berkata, peruntukan tersebut merupakan bantuan pertama yang diterima Hope Church melalui UNIFOR selepas mengemukakan permohonan kepada agensi berkenaan.
“Ini satu permulaan yang baik kerana buat pertama kalinya Hope Church memohon bantuan daripada UNIFOR dan permohonan itu berjaya diluluskan.
“Saya berharap peruntukan RM95,000 ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin mengikut tujuan yang telah dirancang serta laporan dan penyata perbelanjaan dikemukakan selepas dana digunakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan cek peruntukan UNIFOR kepada Koordinator Hope Church, Michael Ling pada Ahad.
Johnny Pang berkata, Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak terus menunjukkan komitmen terhadap keharmonian masyarakat majmuk menerusi peruntukan tahunan kira-kira RM100 juta kepada UNIFOR bagi membantu rumah ibadat dan institusi agama selain Islam di seluruh negeri.
Menurutnya, pendekatan itu mencerminkan keunikan Sarawak yang sentiasa mengutamakan nilai toleransi, persefahaman dan saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang agama dan kaum.
“UNIFOR bukan hanya membantu satu agama, tetapi turut menyalurkan bantuan kepada institusi agama Kristian, Buddha, Hindu serta agama-agama lain.
“Inilah kekuatan Sarawak yang membolehkan rakyat hidup bersama dalam suasana aman dan harmoni walaupun berbeza pegangan agama,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap pihak pengurusan Hope Church dapat menjadikan bantuan berkenaan sebagai langkah awal ke arah pembangunan gereja yang lebih tersusun, termasuk perancangan mendapatkan tapak serta membina bangunan sendiri pada masa hadapan.
Katanya, pertambahan jumlah jemaat dan aktiviti keagamaan juga penting bagi memperkukuh peranan institusi agama dalam membangunkan komuniti setempat.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihak gereja boleh mengemukakan permohonan baharu kepada UNIFOR sekiranya mempunyai keperluan munasabah selepas melengkapkan penggunaan peruntukan semasa serta memenuhi syarat pelaporan yang ditetapkan.
Pada masa sama, beliau mengingatkan supaya semua peruntukan kerajaan digunakan mengikut tujuan yang diluluskan dan laporan kewangan dikemukakan dalam tempoh ditetapkan bagi memastikan proses penyaluran bantuan dapat diteruskan secara telus serta berkesan.

