ARTIKEL

UNIMAS lanjutkan inisiatif pembayaran yuran pengajian secara fleksibel sehingga pelajar terima penajaan, biasiswa atau pinjaman

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bersetuju untuk memanjangkan inisiatif pembayaran yuran pengajian secara fleksibel sehingga pelajar menerima penajaan, biasiswa atau pinjaman dan sebelum penuntut menduduki Peperiksaan Akhir Semester Satu Sesi 2024/2025.

UNIMAS dalam satu kenyataan memaklumkan, pada 22 September lalu, pihaknya telah mengumumkan inisiatif pembayaran yuran pendaftaran fleksibel bagi pelajar baharu kemasukan 2024/2025.

Menurut kenyataan itu lagi, melalui inisiatif tersebut, pelajar baharu dibenarkan untuk membayar yuran pendaftaran pada kadar minimum berjumlah RM1,500.

“Untuk pelajar yang kurang berkemampuan, dibenarkan mendaftar dan membayar yuran pendaftaran setelah pelajar menerima pembiayaan semasa pengajian pada Semester Satu Sesi 2024/2025.

“Atas dasar keprihatinan, UNIMAS telah bersetuju memanjangkan inisiatif pembayaran yuran pengajian secara fleksibel ini kepada pelajar semasa.

“Pelajar dibenar melakukan pembayaran penuh yuran pengajian setelah menerima penajaan atau biasiswa atau pinjaman, dan sebelum pelajar menduduki Peperiksaan Akhir Semester Satu, Sesi 2024/2025,” menurutnya dalam kenyataan itu, hari ini.

Jelasnya, pembayaran yuran pengajian boleh dilakukan melalui laman web https://payportal.unimas.my/epayment/.

UNIMAS mendukung aspirasi Kementerian Pengajian Tinggi Prihatin MADANI bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan para pelajar pengajian tinggi sentiasa menjadi keutamaan.

“Kami terus peka terhadap pelbagai situasi semasa dan kesulitan yang dihadapi oleh para pelajar untuk meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi di UNIMAS.

“Dengan adanya inisiatif tempoh pembayaran fleksibel ini, UNIMAS percaya ia akan membantu pelajar yang kurang berkemampuan untuk mendaftar dan meneruskan sesi pengajian di UNIMAS dengan lancar dan kondusif,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU