ARTIKEL

Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit

UNIMAS Perkenal Pendekatan PdP Hibrid Fleksibel Bermula September 2026

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) akan melaksanakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP) hibrid yang fleksibel secara berperingkat bagi program prasiswazah serta pascasiswazah yang layak bermula semester September 2026.

Naib Canselornya, Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit berkata, pendekatan berkenaan menggabungkan pembelajaran yang diperkasa secara digital dengan pelibatan bermakna di kampus.

Katanya, kuliah dan aktiviti pembelajaran lain yang bersesuaian boleh dilaksanakan melalui platform dalam talian interaktif, manakala sesi makmal, kerja amali, bengkel, aktiviti berasaskan lapangan dan projek kolaboratif akan terus dijalankan di kampus mengikut kesesuaian.

“Inisiatif ini dibangunkan berasaskan pelaburan berterusan UNIMAS dalam infrastruktur pembelajaran digital dan sokongan akademik.

“Ia dirangka untuk meningkatkan fleksibiliti pelajar dan staf, mengukuhkan kesinambungan akademik ketika berlaku gangguan luar jangka serta menyokong pengoperasian kampus yang lebih mampan, tanpa menjejaskan kualiti, interaksi dan pengalaman pelajar yang menjadi teras pendidikan UNIMAS,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, pendekatan hibrid tersebut juga akan dilaksanakan berdasarkan keperluan akademik dan profesional setiap program.

Menurutnya, fakulti dan pusat akan memberikan maklumat terperinci kepada pelajar berkaitan kaedah pengajaran, keperluan kehadiran, jadual waktu serta garis panduan khusus program sebelum semester bermula.

“PdP hibrid membolehkan UNIMAS menawarkan pengalaman pendidikan yang lebih fleksibel, berdaya tahan dan bersedia untuk masa hadapan.

“Kami akan terus memastikan setiap program mengekalkan pembelajaran di kampus yang bermakna, pengalaman amali dan sokongan akademik yang diperlukan oleh pelajar untuk berjaya,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, Pusat Pembelajaran Fleksibel (CFlex) menerajui persediaan ahli akademik UNIMAS bagi melaksanakan pengajaran dan pembelajaran hibrid.

“Bagi menyokong peralihan ini, CFlex menganjurkan beberapa siri webinar bertumpu yang memberi penekanan kepada pendidikan digital secara praktikal.

“Sesi ini membimbing para pendidik untuk menggunakan sistem pengurusan pembelajaran universiti dengan berkesan serta mereka bentuk bahan kursus yang intuitif.

“Penekanan turut diberikan kepada pembangunan sumber pembelajaran kendiri yang menggalakkan pengalaman pembelajaran terarah kendiri dan mengikut kadar pembelajaran sendiri,” jelasnya.

Beliau memberitahu, inisiatif itu turut menyokong usaha UNIMAS untuk menggunakan teknologi digital secara berkesan, mengurangkan perjalanan yang tidak perlu apabila sesuai, serta menggalakkan penggunaan sumber secara bertanggungjawab di seluruh universiti.

Maklumat lanjut mengenai pelaksanaan pendekatan berkenaan akan disampaikan kepada pelajar baharu dan pelajar yang kembali menerusi saluran dalaman rasmi universiti.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU