KOTA SAMARAHAN: UNIMAS menyasarkan kemasukan sehingga 5,000 pelajar bagi sesi akademik 2026/2027 sebagai usaha memperluas akses pendidikan tinggi.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UNIMAS, Profesor Dr Fitri Suraya Mohamad Hapni Joblie berkata, sasaran tersebut merangkumi kemasukan pelajar di semua peringkat pengajian termasuk prauniversiti (Pra-U), ijazah sarjana muda dan sarjana.
Menurutnya, jumlah keseluruhan pelajar UNIMAS ketika ini adalah kira-kira 19,000, sekali gus melibatkan pelajar tempatan dan antarabangsa.
“Daripada jumlah tersebut, kira-kira 14,666 merupakan pelajar prasiswazah, diikuti 2,582 pelajar pascasiswazah dan 1,052 pelajar Pra-U.
“Jumlah ini juga agak konsisten memandangkan kapasiti maksimum UNIMAS adalah sekitar 20,000 pelajar,” katanya pada sesi temu bual khas sempena Karnival Jom Masuk Universiti (JMU) 2026 Zon II Sibu di Bilik Mesyuarat Utama, Bahagian Komunikasi Korporat UNIMAS, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau menambah, UNIMAS kini juga meneroka pendekatan pembelajaran fleksibel bagi menampung permohonan yang berpotensi melebihi kapasiti sedia ada.
Katanya, antara inisiatif yang dilaksanakan ialah peluasan program Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (ODL) yang membolehkan pelajar mengikuti pengajian tanpa perlu hadir secara fizikal ke kampus.
“Kita mula dengan program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Korporat (CMBA). Melalui ODL, pelajar boleh belajar dari rumah dan hanya perlu berinteraksi dengan pensyarah secara dalam talian untuk sesi bimbingan serta tugasan.
“Ini merupakan antara pendekatan yang kita laksanakan di bawah konsep pembelajaran fleksibel,” ujarnya.
Beliau memaklumkan, UNIMAS akan memperluas pelaksanaan ODL dengan memperkenalkan satu lagi program, iaitu Sarjana Sains dalam Pengurusan Sumber Manusia (MSc HRD) yang dijangka ditawarkan tahun hadapan.
Jelasnya, pembangunan program ODL memerlukan sedikit masa memandangkan universiti ketika ini menggunakan sepenuhnya sumber dalaman bagi memastikan kualiti pelaksanaan terjamin.
“Kita sedang berusaha untuk melengkapkan lebih banyak program di peringkat Sarjana untuk ditawarkan secara ODL. Insya-Allah, pembukaan peluang pendidikan khususnya di peringkat Sarjana akan terus diperhebat di UNIMAS,” tegasnya.
Dalam hal berkaitan, beliau juga mengakui bahawa inisiatif ODL membantu universiti menangani kekangan fasiliti fizikal serta menyediakan kaedah pembelajaran yang lebih fleksibel kepada pelajar.


