KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menegaskan komitmennya untuk mentransformasi pendidikan tinggi dengan penekanan kepada pembangunan insan serta impak bermakna kepada masyarakat.
Naib Canselor UNIMAS, Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit berkata, nilai sesebuah universiti tidak terletak semata-mata pada angka, kedudukan atau penarafan, sebaliknya pada keupayaannya membentuk insan beretika dan menyelesaikan masalah sebenar masyarakat.
“Di UNIMAS, kami melihat pembelajaran sebagai satu proses hidup yang memerlukan kita sentiasa belajar, menilai semula dan memperbaiki diri bagi memastikan masa hadapan yang lestari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, UNIMAS mendokong tradisi akademik berteraskan wacana kritis, refleksi kendiri dan keberanian intelektual sebagai pemangkin kemajuan institusi, terutamanya dalam mendepani cabaran landskap pendidikan tinggi yang semakin kompleks.
Mengulas persepsi terhadap universiti awam, katanya, penilaian umum sering gagal menggambarkan kepelbagaian peranan dan realiti institusi pendidikan tinggi, khususnya universiti berteraskan pembangunan wilayah.
“Sebagai universiti berpaksikan pembangunan wilayah, impak terhadap manusia, komuniti dan alam sekitar merupakan teras kewujudan UNIMAS. Penarafan dan Indikator Prestasi Utama (KPI) berfungsi sebagai instrumen navigasi strategik,” jelasnya.
Dalam aspek integriti akademik, UNIMAS mengamalkan pendekatan sistemik melalui pengukuhan mekanisme tadbir urus institusi.
“Ia merangkumi pemerkasaan Jawatankuasa Etika Penyelidikan, pelaksanaan polisi integriti yang telus, serta pemisahan autoriti antara pentadbiran dan penilaian akademik.
“Pendekatan ini selaras dengan Pelan Strategik UNIMAS 2026–2030 yang memperkukuh konsep People-Centered University melalui pembuatan keputusan berasaskan bukti serta pelaksanaan inisiatif ‘living lab’ bersama komuniti, industri dan pemegang taruh,” ujarnya.
Selain itu, katanya, sebagai tunjang pendidikan tinggi di Borneo, UNIMAS memainkan peranan penting memacu agenda pembangunan wilayah dan negara menerusi kurikulum relevan serta penyelidikan dalam bidang biodiversiti, kelestarian, transformasi komuniti, teknologi maklumat dan kesihatan komuniti.
Sehubungan itu, katanya, kritikan konstruktif terhadap institusi pendidikan tinggi sentiasa dialu-alukan sebagai pemangkin penambahbaikan, namun ia perlu disertai kefahaman bahawa pembinaan institusi kukuh memerlukan konsistensi, masa dan iltizam berterusan.
“UNIMAS kekal relevan, dinamik dan komited untuk terus belajar serta memimpin dalam dunia yang semakin mencabar,” katanya.



