ARTIKEL

Syafiq (dua kanan) didampingi ibunya, Zawiyah Salleh (kanan), serta ibu dan bapa saudaranya yang merakam kenangan bersama Hafizuddiean (tengah).

Unsur mistik tidak ditolak dalam kes Prebet Syafiq hilang 19 hari sebelum ditemu selamat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abdul Halim menyatakan dirinya hilang hanya selama dua hari sahaja, sedangkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mengambil masa yang begitu lama untuk menemukannya.

Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan, berkata perkara itu dinyatakan sendiri oleh Syafiq ketika ditemu ramah selepas dijumpai selamat pada 6 Julai lalu setelah dilaporkan hilang ketika bertugas dalam Ops Ukur di Limbang pada 18 Jun lepas.

Hafizuddiean (dua kiri) bersama Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMTTD), Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Mohd Lepi (kiri), bertanyakan khabar serta keadaan Prebet Syafiq (dua kanan).

Menjelas lanjut, beliau berkata Syafiq juga berusaha mencari semula pasukannya dengan menyusuri jalan yang dilalui sebelum itu tetapi gagal, seterusnya memaksa beliau untuk bertahan sendiri.

“Dalam tempoh lebih kurang dua hari, dia cuba berjalan menyusuri sungai-sungai dan tanda-tanda yang ada untuk kembali kepada pasukan.

“Pada hari kita jumpa itu, dia nampak khemah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan soalan pertama dia adalah ‘ini askar Brunei ke’ sebab dia takut mungkin telah sesat ke Brunei,” katanya pada sidang media di Wisma Perwira Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD), Kem Sri Miri, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hafizuddeain juga tidak menafikan kehilangan Syafiq ada kaitan dengan perkara mistik.

“Realitinya, kita tidak boleh menafikan perkara mistik walau macam mana canggih kita dalam teknologi. Mistik sentiasa ada, cuma sukar untuk kita buktikan.

“Sebab itulah dalam pencarian, kita juga menggunakan cara tradisional, iaitu bantuan daripada ustaz dan pengamal-pengamal perubatan setempat yang mungkin lebih faham dengan keadaan di situ.

“Penduduk tempatan juga membantu dan mereka tahu kawasan tersebut agak keras,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata keadaan fizikal, mental dan rohani Syafiq kini dalam keadaan stabil dan normal.

Bagaimanapun, Hafizuddeain berkata pihaknya masih perlu membuat pemantauan rapi ke atasnya dalam tempoh beberapa hari lagi bagi memastikan dia tidak mengalami sebarang trauma.

“Kita perlu memastikan dia berada dalam keadaan waras seperti sebelumnya.

“Tempoh kehilangan selama 19 hari itu suatu tempoh yang lama.

“Kalau kita ikut secara rasionalnya, ketahanan fizikal kita ada had sekiranya tidak mendapat nutrisi atau makanan bagi mendapatkan tenaga secukupnya, namun ini adalah berkat keajaiban Tuhan dan dia dapat bertahan,” katanya.

Sementara itu, Hafizuddeain berkata pihaknya akan meneliti sama ada perlu memindahkan Syafiq yang kini bertugas dalam pasukan Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) yang berpangkalan di Kem Kidurong, Bintulu ke unit lain.

“Kita beri dia cuti rehat di kampung untuk bersama-sama dengan keluarga terlebih dahulu.

“Saya tanya dia sendiri tadi, dia kata seronok kerja di sini kerana ia unit pertamanya sejak berkhidmat dan dia juga telah mengikuti beberapa siri operasi dalam sepanjang perkhidmatannya.

“Dia juga sangat peramah dan senang dibawa berkawan, jadi kita tidak fikir dia mempunyai masalah untuk bertugas di sini tapi kita akan teliti semula sekiranya ada keperluan untuk dia dipindahkan ke mana-mana,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU