
STEPHANIE JUANITA AHLEE
Itu Bujek. Dia pegawai pemasaran di syarikat berasaskan
produktiviti perladangan.
Setiap hari, dia bertemu pelbagai jenis perwatakan klien.
Sudah menjadi kebiasaan, mulut manis itu umpama senjata
paling utama sebagai kelengkapan pekerjaan sehariannya.
Salah satu peluru yang paling mujarab buatnya ialah perkataan untung.
Dalam seperenggan kata-kata, perkataan untung akan keluar dari mulutnya sebanyak yang mungkin.
Berkata sekali mungkin masih meragukan, setelah berulang kali menyebut, ikan pasti makan kail.
Carta jualannya melonjak naik secara tiba-tiba kerana peluru rahsia diledak secara halus itu.
“Eh, Bujek! Kau masih lagi bekerja untuk syarikat itu?” tanya Daut.
Bujek yang menghirup kopi ais itu tersedak, berdetak seketika dadanya kerana terkejut disapa Daut yang muncul tiba-tiba tanpa salam itu.
“Kau ni, buat aku terkejut! Aku masih lagi setia dengan syarikat itu.”
“Kau tak nak ke mencuba sendiri menjual produk syarikat tu? Taklah komisen dibahagi ke sana sini, sendiri yang empunya,” Bujek hanya tersenyum.
“Kan lagi untung…,” perbualan itu berlanjutan sehingga gelas ketiga kopi ais Bujek habis dihirup serta panggilan masuk seseorang mematikan pertemuan mereka di situ.
Untung, untung, untung. Perkataan itu berulang kali mengetuk pintu fikirannya sehingga dia terlepas beberapa temu janji.
Ya,benar. Sampai bila dia harus menjadi penjana kewangan untuk orang lain sedangkan dia boleh menguasai 100
peratus hak tunggal?
“Kau cubalah menternak ikan tilapia. Untung!”
“Aku ada benih udang galah. Banyak yang dah beli dengan aku. Mereka jadi jutawan sekarang. Lumayan dan menguntungkan.”
“Lagi banyak bisneskau, lagi banyak la untung kaudapat!”
“Siapa cakap tak untung? Aku dah ada dua biji rumah. Modal sedikit, tetapi pulangan banyak. Bisnes penanaman nanas untuk lima tahun ini menguntungkan.”
Untung, untung, untung.
Dia mulai mengagungkan dan menjadi hamba perkataan itu.
Asal sahaja ada mulut yang memperkatakan keuntungan, gema keinginan memilikinya terus meletus sehingga dia tidak lagi memerlukan khidmat nasihat untuk langkah seterusnya.
“Berapa banyak sudah kauguna untuk pelaburan itu?” tanya Musen sambil mengerut kening.
Bujek semakin hanyut melakar nombor yang entah apa-apa di hadapan Musen.
Dia mahukan Musen menjadi rakan kongsinya kerana wang
simpanannya semakin surut.
“Berapa?” tanya Musen lagi.
“Sebulan kita dapat begini. Kalau setahun, ia akan jadi begini,” terang Bujek.
“Bujek! Ini hanya kertas! Berapa banyak kau dah rugi?”
Rugi? Aku rugi? Bujek terus tersembam ke lantai.
Dia dikejutkan dengan perkataan itu seolah-olah ada batu besar sedang menimpa tubuhnya.
Sekian lama dia tidak mendengar perkataan itu. Dia terlupa, untung lawannya rugi.



