Urus alam sekitar secara berkesan

KUCHING: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan komited dalam polisi dan strategi pengurusan alam sekitar secara berkesan dan lestari.

Setiausaha Politik Ketua Menteri Tan Kai berkata, dasar dan strategi itu sudah tersedia ada dan dilaksanakan secara aktif.

“Ia dikuatkuasakan di pelbagai peringkat agensi kerajaan terutamanya pihak berkuasa tempatan.

“Ini dapat membantu mengurus populasi negeri kita yang meningkat saban hari dan meransang pelbagai aspek aktiviti pembangunan dan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian mewakili Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Hui Kian dalam Program Trieneken’s Greenovation School bersempena Ulang Tahun ke-20 Trieneken di pusat beli-belah di sini, semalam.

Tambahnya, program itu selari dengan usaha kementerian itu untuk meningkatkan kesejahteraan komuniti dan alam sekitar. “Ini dapat dijalankan melalui program kesedaran secara besar-besaran dan pendidikan berterusan mengenai pengurusan alam sekitar.

“Kementerian mengalu-alukan sebarang inisiatif yang memacu pembangunan mampan termasuk dari syarikat dan program sekolah yang menggabungkan penggunaan inovasi dan kreativiti sebagai pendekatan untuk bergerak ke arah kehidupan yang mampan,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Trieneken’s Group Stephen Chin berkata, syarikat itu komited dan memainkan peranan penting dalam pendidikan alam sekitar.

“Kami percaya pendidikan adalah kunci membentuk minda dan tingkah laku masyarakat kita terutamanya dalam pengurusan bahan buangan.

“Oleh itu, sepanjang kewujudan Trieneken’s kami sentiasa bekerjasama dalam pelbagai program kesedaran alam sekitar termasuk dari peringkat tadika sehingga ke peringkat agensi kerajaan,” katanya.

Stephen berkata, sebanyak 44 pasukan dari 25 sekolah di Kuching menyertai program anjuran mereka kali ini.

“Kami berharap program ini dapat dikembangkan ke kawasan lain di Sarawak dan mendapat kerjasama dari agensi lain seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan,” ujarnya.

Suara Sarawak