MUKAH: Usaha membanteras penyalahgunaan dadah perlu digerakkan secara menyeluruh dengan penglibatan semua pihak, termasuk ibu bapa, institusi pendidikan, agensi kerajaan dan masyarakat bagi melahirkan generasi yang berdaya tahan serta bebas daripada gejala tersebut.
ADUN Tellian Royston Valentine berkata, usaha memerangi penyalahgunaan dadah tidak boleh dipikul oleh agensi penguat kuasa semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat daripada semua lapisan masyarakat.

“Pendidikan pencegahan dadah juga perlu diterapkan sejak usia muda bagi membentuk generasi yang berintegriti, berdisiplin serta mampu menjadi pemimpin masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kem Pintar 2.0 Bahagian Mukah 2026 dan Program Permata Keluarga di dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Petanak di sini, semalam.
Menyentuh tentang program tersebut, katanya, ia merupakan anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Mukah dengan kerjasama Skuad Antidadah Negeri Sarawak, Persatuan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Tellian, Pertubuhan Belia Parlimen Mukah, Ajakcut serta Pejabat Pendidikan Daerah Mukah.
Menurutnya, seramai 100 murid tahap dua daripada sembilan buah sekolah di bahagian Mukah menyertai program tersebut.

Royston yang juga Pengerusi Skuad Antidadah Negeri Sarawak memberitahu bahawa penganjuran kem berkenaan bertujuan memupuk kesedaran awal dalam kalangan murid mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.
“Ia juga bertujuan membentuk sahsiah, disiplin, jati diri dan semangat kepimpinan menerusi pelbagai aktiviti berteraskan pendidikan, pembangunan diri dan kerja berpasukan.
“Manakala Program Permata Keluarga memberi penekanan terhadap peranan ibu bapa dan institusi keluarga sebagai benteng utama dalam membentuk anak-anak yang berakhlak mulia serta bebas daripada pengaruh gejala sosial,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berharap Kem Pintar 2.0 Bahagian Mukah 2026 dan Program Permata Keluarga mampu memberi impak positif kepada para peserta dalam melahirkan generasi yang sihat, cemerlang dan bebas daripada dadah demi kesejahteraan masyarakat serta pembangunan Sarawak.


