KUCHING: Usaha kerajaan menstabilkan harga rumah dan memperluas akses perumahan mampu milik digerakkan melalui skim SPEKTRA Lite, SPEKTRA Medium dan Sri Pertiwi, masing-masing disasarkan mengikut pendapatan serta syarat kelayakan tertentu.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee, berkata kerajaan turut memperkenalkan Tabung Sumbangan Perumahan Sarawak, yang mewajibkan pemaju membuat bayaran sumbangan sebagai ganti kepada penyediaan rumah mampu milik.
“Menerusi dana ini, kerajaan bersama badan berkanun akan melaksanakan projek perumahan mampu milik,” katanya ketika menjawab soalan ADUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming pada persidangan itu, hari ini.
Menurutnya, kerajaan turut membangunkan unit Rumah SPEKTRA Permata (RSP) berharga antara RM90,000 hingga RM160,000 seunit menerusi Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC), sebagai usaha meningkatkan kemampuan dan akses perumahan di seluruh Sarawak.
“Selain itu, kerajaan melalui Mutiara Mortgage & Credit Sdn. Bhd. (MUTIARA) menyediakan pembiayaan pinjaman berkadar faedah rendah satu peratus setahun bagi B40 dan tiga peratus bagi M40.
“Selain itu, bantuan RM10,000 untuk bayaran deposit rumah di bawah Skim Bantuan Deposit dan Bayaran Balik Perumahan (HDRAS) bagi rumah berharga di bawah RM300,000,” katanya.
Bagi HDRAS, beliau berkata kriteria kelayakan telah diperkemas dengan membenarkan pembelian rumah sub-jualan dan rumah lelong, asalkan harga rumah tidak melebihi RM300,000, sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada pembeli rumah pertama.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia (KPKT) dalam pelaksanaan Program Perumahan Rakyat (PPR), Program Residensi Rakyat (PRR), Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) dan projek Rumah Mesra Rakyat (RMR) oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
“Ini termasuk PPR Seduan di Sibu, PRR Kidurong di Bintulu dan PRR Samariang di Kuching, selain pelaksanaan PPKB bagi membaik pulih atau membina baharu rumah pemohon layak di kawasan bandar,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak 1,601 unit rumah mampu milik bakal dibangunkan di kawasan Sungai Plan, Bintulu, selepas Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) memperuntukkan kira-kira 528.31 ekar tanah bagi projek berkenaan.
“Pelan pembangunan itu telah dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Perancangan Negeri (SPA) untuk pertimbangan.
“Cadangan bagi Fasa Pertama, Kedua dan Ketiga melibatkan 1,601 unit rumah mampu milik.
“Daripada jumlah ini, 980 unit ialah Flat Putera, 308 unit lot rumah berkembar dan 313 unit rumah teres,” jelasnya.
Beliau berkata Kerajaan Sarawak, melalui agensi seperti HDC, LCDA, BDA dan pemaju swasta, juga mengguna pakai pendekatan dipacu bekalan bagi menangani kenaikan harga rumah dengan menambah pembinaan rumah mampu milik di kawasan berpermintaan tinggi.
“Dengan meningkatkan bekalan rumah mampu milik, tekanan terhadap pasaran terbuka dapat dikurangkan, sekali gus membantu menstabilkan dan mengawal kenaikan harga rumah,” tambahnya.


