MERADONG: Struktur rumah panjang yang menempatkan ramai penghuni dalam satu bangunan memerlukan tahap kesiapsiagaan lebih tinggi, terutama dalam menghadapi risiko kebakaran yang boleh berlaku tanpa dijangka.
Menyedari perkara itu, usaha memperkukuh aspek keselamatan kebakaran terus diberikan perhatian menerusi penyediaan alat pemadam api di beberapa rumah panjang di kawasan Meradong.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei Datuk Sri Huang Tiong Sii berkata langkah pencegahan awal amat penting bagi membantu penduduk bertindak pantas sebelum api merebak dan mengakibatkan kerugian lebih besar.
“Kebanyakan rumah panjang dibina secara bersambung, sekali gus menyebabkan kebakaran boleh merebak dengan cepat jika tidak dikawal pada peringkat awal. Keselamatan penduduk perlu sentiasa menjadi keutamaan. Persediaan awal mampu membantu mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke beberapa rumah panjang di kawasan Meradong, pada Selasa.
Melalui lawatan tersebut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok turut meluluskan pembekalan alat pemadam api kepada beberapa rumah panjang sebagai langkah meningkatkan tahap keselamatan penduduk.
Selain meninjau aspek keselamatan, beliau turut mendengar secara langsung keperluan masyarakat berkaitan kemudahan asas dan pembangunan komuniti di kawasan terbabit.
Antara perkara yang dibangkitkan penduduk termasuklah permohonan kerusi dan meja bagi kegunaan aktiviti kemasyarakatan serta program komuniti di rumah panjang.
Permohonan itu kemudian diluluskan bagi menyokong usaha memperkukuh aktiviti sosial dan mewujudkan suasana komuniti yang lebih aktif.
Beliau turut memaklumkan bahawa lawatan berterusan ke kawasan luar bandar adalah penting bagi memastikan setiap isu dan keperluan penduduk dapat dikenal pasti secara lebih dekat.
“Pendekatan turun padang membolehkan bantuan dan pembangunan disalurkan mengikut keperluan sebenar masyarakat setempat,” katanya.
Dalam siri lawatan sama, beliau turut mengunjungi rumah panjang di kawasan Sungai Gemuan, Sungai Apong, Sungai Janting, Sungai Stubah, Sungai Kabu dan Sungai Kelupu.



