KUCHING: Usaha merapatkan jurang antara bandar dengan luar bandar dipergiat melalui pendekatan pembangunan dari akar umbi yang dilaksanakan oleh pelbagai agensi pembangunan di wilayah ini.
Timbalan Premier merankap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, inisiatif pembangunan itu digerakkan melalui peranan aktif agensi seperti Agensi Pembangunan Rajang Hulu (URDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
‘’Misalnya sejak 2018, URDA memainkan peranan penting dalam mentransformasikan kawasan Rajang Hulu. Sebanyak 39 projek infrastruktur dan empat projek bukan fizikal dilaksanakan.
‘’Daripada jumlah ini, 13 projek infrastruktur dan kesemua inisiatif bukan fizikal, termasuk pelan induk bagi Kapit, Bakun dan Belaga siap sepenuhnya.
“Sebanyak 14 projek pula sedang dalam pembinaan manakala 12 projek berada di peringkat prakontrak,’’ katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Uggah menambah, HDA kini bertanggungjawab menyelia sebanyak 43 projek bernilai RM1.5 bilion, merangkumi pembinaan jalan raya dan jambatan, bekalan air serta penyediaan elektrik.
Sehingga kini katanya, sebanyak 16 projek siap dilaksanakan, 15 sedang dalam pembinaan, manakala 12 lagi berada di peringkat prakontrak.
‘’Antara pencapaian utama ialah projek Miri-Marudi, Marudi-Mulu (Kuala Melinau) dan Long Panai-Long Lama”, yang dijadualkan memulakan kerja-kerja pembinaan pada suku keempat 2025.
‘’Jalan raya sepanjang 142 kilometer ini merangkumi sembilan jambatan utama, 14 jambatan kecil, serta sembilan jalan cabang dengan jumlah panjang keseluruhan 33 kilometer,’’ ujarnya.
Tambah Uggah, BDDA memainkan peranan penting dalam perancangan dan pelaksanaan sebanyak 419 projek yang berjumlah RM1.41 bilion di wilayah tersebut.
Projek ini dibahagikan kepada enam sektor utama iaitu pembangunan infrastruktur: 99 projek bernilai RM664.89 juta; pembangunan sosial dan hal ehwal wanita: 49 projek bernilai RM248.72 juta; serta pembangunan pertanian dan industri makanan: 215 projek bernilai RM208.07 juta.
’’Seterusnya, pembangunan perniagaan, industri dan keusahawanan: 29 projek bernilai RM133.14 juta; pembangunan pelancongan dan alam sekitar: 11 projek bernilai RM116.40 juta; dan pembangunan utiliti dan telekomunikasi: 16 projek bernilai RM42.25 juta.
‘’Secara keseluruhan, sebanyak 73 projek telah siap; 25 projek sedang dalam pembinaan; dan 321 projek berada di peringkat pra-kontrak,’’ ujar beliau lagi.


