Usahawan muda sokong penuh

KUCHING: Usahawan muda dan komuniti perniagaan di negeri ini menyokong penuh pembentukan Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak (SEAC) seperti diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg baru-baru ini.

Presiden Persatuan Usahawan Sarawak (SEA) Nizam Khalyd berkata, kesihatan orang awam sentiasa menjadi keutamaan, bagaimanapun kerajaan mesti mencapai keseimbangan antara kesihatan dan ekonomi.

Menurutnya, SEAC merupakan jalan terbaik untuk mengurangkan masalah dan cabaran yang dihadapi oleh usahawan di Sarawak pada hari ini.

“Kami juga bersetuju dengan keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) untuk membuka semula aktiviti ekonomi secara berperingkat-peringkat.

“Ini kerana komuniti perniagaan tempatan perlu menyesuaikan diri dengan corak normalisasi dalam kegiatan ekonomi mereka setelah ditutup untuk tempoh lama,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Nizam berkata, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau multinasional mungkin bersedia membuka perniagaan dengan prosedur operasi standard (SOP) sendiri, namun perkara ini tidak berlaku untuk beberapa perusahaan kecil.

“Kita perlu menggembleng pelan tindak balas ekonomi yang tersusun.

“Pada masa yang sama menghidupkan kembali sokongan perusahaan mikro yang membentuk keseimbangan antara pembukaan aktiviti perniagaan dan memastikan persekitaran tempat kerja yang selamat untuk pekerja dan pelanggan,” tambahnya.

Dalam pada itu jelasnya lagi, apabila situasi berisiko berlaku seperti pekerja disahkan positif Covid-19, ia akan melibatkan jabatan kesihatan, ujian dan sanitasi yang melibatkan kos yang besar.

“Sehubungan itu, saya menunggu pengumuman strategi daripada JPBNS berkenaan SOP serta garis panduan yang komprehensif,” katanya lagi.

Beliau turut menerima baik inisiatif Kerajaan Sarawak membangunkan momentum mengembangkan ekonomi melalui konsep ekonomi digital.

“Visi Ketua Menteri mengenai transformasi digital adalah langkah yang sempurna. “Kami menyokong penuh inisiatif Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan kapasiti pusat data dan inovasi menggunakan perkhidmatan digital seperti data raya, pendidikan digital, aplikasi dan perkhidmatan,” jelasnya lagi.