KABONG: Guru Kelas Asas Fardhu Ain (KAFA) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Kupang yang dikenali sebagai Ustaz Hafiz dinobatkan sebagai johan kategori qari Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Bahagian Betong 1446 Hijrah yang berlangsung di Masjid Assabirin, malam tadi.
Muhammad Hafiz Pelira dari Saratok itu berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, sijil penyertaan dan piala iringan.
Sementara itu, Norhashimah Marzuki dari Kabong dinobatkan sebagai johan kategori qariah dan turut menerima hadiah sama.
Naib johan kategori qari disandang oleh Mohammad Zahary Masor dari Betong, manakala tempat ketiga menjadi milik Sulaiman Ayup, juga dari Betong.
Bagi kategori qariah pula, naib johan disandang oleh Nur Saidatul Hanisah Saleman dari Kabong, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Rosnani Junaidi dari Saratok.
Naib johan bagi kedua-dua kategori membawa pulang hadiah wang tunai RM700, sijil penyertaan dan piala iringan, manakala pemenang tempat ketiga menerima RM500 berserta sijil dan piala iringan.

Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Bahagian Betong yang berlangsung selama dua hari telah dirasmikan penangguhannya oleh ADUN Kabong, Datuk Mohd Chee Kadir.
Pada tahun ini, pertandingan tersebut dianjurkan bersama oleh Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Bahagian Betong, Pejabat Daerah Kabong, Pejabat Agama Islam Bahagian Betong serta Jawatankuasa Pengurusan Masjid Assabirin Kabong.
Seramai 12 orang peserta yang terdiri daripada enam qari dan enam qariah telah menyertai majlis tilawah ini dan memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran sepanjang dua hari pertandingan berlangsung.
Antara peserta lain ialah Ahlip Mohammad Aup dari Pusa, Muhammad Haziq Hafiy Hassan dari Saratok, Razali Sulong dari Kabong, Fatimah Adenan dari Kabong, Ilma Zanira Sorpi dari Betong dan Norelzira Mohammad dari Kabong.
Objektif utama penganjuran ini adalah untuk memperkukuh syiar Islam, memupuk kecintaan terhadap al-Quran dalam kalangan masyarakat serta mencungkil bakat qari dan qariah dari seluruh Bahagian Betong.
Pemangku Timbalan Residen Bahagian Betong Hamdan Katang, Pegawai Daerah Kabong Tahir Mohd Sharee merangkap Pengerusi Pengelola Majlis, Pemangku Pegawai Agama Islam Bahagian Betong Ustaz Anwar Rosli serta barisan ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) turut hadir sama.



