ARTIKEL

Dr Khairuddin Abdul Hamid (kanan) dan Ayden Lim Phong Hian menandatangani MoU berkenaan.

UTS jalin kerjasama strategik dengan Betapuru Digital, bangunkan bakat muda dalam animasi, media kreatif

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) terus memperkuatkan usaha membangun bakat muda dalam dunia animasi dan media kreatif melalui kerjasama strategik dengan Betapuru Digital Sdn Bhd.

Memorandum Persefahaman (MoU) yang baru sahaja dimeterai membuka lembaran baharu dalam bidang animasi digital.

Ia mengukuhkan lagi komitmen kedua pihak untuk menyediakan peluang latihan industri, pembangunan kurikulum, dan penyediaan tenaga kerja mahir dalam sektor yang berkembang pesat ini.

Naib Canselor UTS, Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid, berkata kerjasama ini lebih daripada sekadar sebuah perjanjian rasmi.

“Ia merupakan satu usaha berterusan yang telah berjalan lebih setahun, dan menghasilkan pelbagai pencapaian yang amat membanggakan, termasuk latihan industri yang memberi manfaat langsung kepada pelajar.

“Di UTS, kami percaya bahawa pendidikan tidak boleh hanya terhad kepada teori semata-mata.

“Kami memberi penekanan besar kepada pendedahan industri sebenar yang dapat membuka peluang bagi pelajar untuk mempraktikkan ilmu yang dipelajari.

“Betapuru Digital telah memainkan peranan penting dalam membimbing pelajar-pelajar kami, memberi mereka peluang untuk berkembang dan memperoleh pengalaman yang sangat berharga,” ujarnya ketika berucap pada majlis pemeteraian MoU tersebut di sini, hari ini.

Beliau turut berkongsi kejayaan mengagumkan seorang graduan UTS, Francis Bong Vun Hong, yang baru-baru ini menjuarai kategori animasi komik dalam pertandingan ‘2024 Animation at Work Contest’, dengan mengalahkan 139 penyertaan dari 39 negara.

Kejayaan Francis membuktikan bahawa bakat muda Sarawak mampu bersinar di pentas global, sekali gus mengangkat nama UTS di persada antarabangsa.

“Francis adalah bukti jelas bahawa bakat tempatan kita mampu bersaing dengan yang terbaik.

“Sebagai alumni program ‘Creative Digital Media’ kami, beliau telah menjalani latihan industri di Betapuru Digital, dan kemenangan beliau di arena antarabangsa ini adalah satu kebanggaan besar,” tambah Khairuddin.

Lebih mengagumkan, Francis turut meraih kemenangan dalam pertandingan ‘Animating Blender Characters with Accuracy’ pada November 2024, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai seorang animator muda yang berbakat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Betapuru Digital, Ayden Lim Phong Hian, menyatakan bahawa MoU ini adalah langkah signifikan dalam usaha memperkasa perkembangan bakat animasi digital di Malaysia.

Dengan latihan yang disediakan dalam perisian animasi 2D dan 3D menggunakan teknologi ‘Reallusion’, serta peluang latihan industri, kurikulum bersama, dan projek-projek animasi, Betapuru Digital komited untuk menyediakan platform terbaik buat pelajar.

“Selain latihan, kami juga memberikan peluang bagi pelajar cemerlang untuk mendapat penempatan kerja di syarikat kami.

“Betapuru Digital juga terlibat dalam projek animasi ‘Heart of Malaysia: A National PSA’, yang kini memasuki fasa kedua.

“Ini membuktikan kepercayaan industri terhadap kemampuan kami dalam menghasilkan karya animasi berkualiti,” katanya.

Projek ‘Heart of Malaysia’, yang dianjurkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bersama Rtist, akan menghasilkan animasi yang bakal disiarkan secara rasmi dalam waktu terdekat.

Dengan pemeteraian MoU ini, Betapuru Digital diiktiraf sebagai Pusat Latihan Bertauliah ‘Reallusion’, komited untuk membekalkan kemahiran industri kepada pelajar, serta memperkasa penceritaan digital di Malaysia.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh wakil-wakil dari Betapuru Digital dan pensyarah yang terlibat dalam program latihan industri.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU