ARTIKEL

Utusan Sarawak universiti kami

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PADA 28 Februari lalu, akhbar Utusan Sarawak mengakhiri hayat cetaknya, setelah lebih 30 tahun beroperasi.

Akhbar ini mula diterbitkan pada 16 Januari 1949 oleh Tan Sri Abang Ikhwan Zainie, yang merupakan Pengerusi Persatuan Melayu Sarawak ketika itu. Ia dicetak oleh Arif Press dan penerbitannya berterusan sehingga 1971.

Versi baharu akhbar ini muncul 1990-an, dengan urusan penerbitannya dikendalikan Warta Distibution Sdn. Bhd., manakala kerja-kerja cetakan dilakukan oleh Sarawak Press Sdn. Bhd. di kilangnya di Jalan Abell, Kuching.

Penulis memasuki pasukan akhbar ini pada akhir 1994 ketika ia sedang berada dalam proses transformasi.
Akhbar ini pada awalnya dipimpin oleh Haji Aziz Malim, sebelum ia bertukar tangan kepada Jeniri Amir (yang kini Datuk Dr), bekas pengetua dan pegawai pendidikan pada waktu itu.

Jeniri merupakan seorang wartawan yang prolifik, dan tulisannya sering mendapat tumpuan ketika menulis untuk Cermin Rakyat, sisipan kepada The People’s Mirror.

Pada mulanya, akhbar yang menjadi adik kepada Sarawak Tribune ini diterbitkan sekitar 8 ke 12 halaman.
Namun ketika Jeniri mengambil alih, pasukan editorialnya bertekad untuk menggandakan jumlah halaman, bagi memastikan pembaca rasa berbaloi ketika membelinya.

Maka jumlah halaman ditambah secara berperingkatperingkat. Menambah halaman bermakna menambah kandungan.

Perancangan dilakukan ke arah itu, dengan mewujudkan sisipan, ruang ekonomi dan paling penting, ruangan sukan; yang mendapat sambutan hangat.

Seorang wartawan kanan, Wan Ali Amit telah dipertanggungjawab untuk mengemudikan ruangan itu, bersama-sama wartawan muda dari Mukah, yang juga bekas pemain bola, Awang Shahferi Adeni.

Untuk berita am dan politik, ia dikendalikan oleh Timbalan Editor Eksekutif, Khaidir Ahmad, yang juga dipanggil Abah.

Manakala Aziz atau kami panggil Pak Aziz bertindak sebagai “gate keeper” terakhir.
Berperanan sebagai Timbalan Editor Eksekutif I, beliau yang berusia sekitar lewat 60-an ketika itu berperanan sebagai pembaca pruf. Penulis sendiri bermula sebagai pemberita kadet untuk meja am, sebelum beberapa bulan kemudian, diberi kepercayaan berada dalam pasukan sisipan. Rombakan total akhbar ini cukup dramatik.

Kami bukan sahaja berpandukan akhbar nasional seperi Berita Harian, Utusan Malaysia, The Star, Harian Metro, New Straits Times, bahkan akhbar-akhbar Indonesia seperti Jawa Post, Republika, Media Indonesia, hingga kepada majalah Tempo. Malah kami turut merujuk The Nation di Thailand selain majalah Asiaweek dan Times.

Rujukan dan kajian bukan sahaja dari sudut reka letak dan persembahan, malah dari gaya tulisan.
Penulis antara yang belajar banyak daripada tulisan-tulisan gaya kewartawanan baharu Utusan Malaysia, Berita Harian dan Asiaweek.

Berbanding akhbar lain di Sarawak pada waktu itu, akhbar ini mula memberikan tumpuan kepada rencana dan pojok, sebagai simbol kekuatannya.

Dan seperti Mingguan Malaysia, ia mengukuhkan penerbitan Mingguan Sarawak dengan pojokpojok menarik seperti “Cakap Sini Habis Sini” oleh Jeniri Amir dan “Gunjing” yang bermaksud gosip oleh Muhammad Kassim – Editor Eksekutif Cermin Rakyat yang kemudian menjadi Timbalan Editor Eksekutif Utusan Sarawak.

Selain itu, beberapa nama besar turut dilantik sebagai kolumnis. Ini termasuklah Tan Sri Lee Lam Thye, Tan Sri Ibrahim Abu Shah dan Dr Kamil Ibrahim (Allahyarham).

Pada era tersebut, sehingga menjelang tahun 2000, akhbar ini mendapat sambutan yang cukup hangat, hebat dan luar biasa.

Edarannya, pada waktu kemuncak sehingga mencapai 48,000 naskhah.
Untuk tempoh yang agak lama, jarang ia tidak laris dan tidak habis; terutama untuk edaran Mingguan Sarawak.

Antara puncanya termasuk kehangatan “bola sepak” Sarawak pada waktu itu.

Ketika itu, komen di akhbar merupakan antara perkara yang dinanti-nantikan.

Menerusi akhbar inilah, penulis menghasilkan laporan khas mengenai Rosli Dhoby dan rakan-rakan, hingga akhirnya tulisan ini dibukukan. Malah dijadikan rujukan untuk dokumentari ilmiah “Rosli Dhoby: Pejuang atau Pembunuh”, yang disiarkan dalam segmen “Suatu Ketika” oleh Astro Ria. Dokumentari ini kemudian memenangi dokumentari ilmiah terbaik Festival Filem Dokumentari Malaysia.

Malah tulisan penulis dalam buku tersebut turut menjadi kandungan buku teks tingkatan tiga, sekitar 10 tahun yang lalu. Menariknya, sumber rujukan utama ialah berita tentang Rosli dan rakan-rakannya, yang diterbitkan sekitar tahun 1949 hingga 1951.

Pada 28 Februari lalu, akhbar Utusan Sarawak mengakhiri hayat cetaknya, setelah lebih 30 tahun beroperasi. Untuk tempoh yang agak lama, jarang ia tidak laris dan tidak habis terutama untuk edaran Mingguan Sarawak. Ketika ia menamatkan cetakannya pada Jumaat lalu, telah 30 tahun, akhbar ini berada pada saat gemilangnya.
Apa yang berlaku selepas itu, terutamanya menjelang tahun 2000, ketika penulis menamatkan tugas sebagai Editor Rencana, adalah sejarah.

Politik semasa, dengan pertembungan posisi Timbalan Yang Dipertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di antara Pehin Sri Adenan Satem dan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, serta insiden Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat pada 1998 menjadi punca antara kami berhenti daripada pasukan editorial akhbar ini, selain gerakan pembersihan oleh pihak pengurusan; atas alasan syarikat rugi.

Sebelumnya Jeniri berhenti kerana melanggar arahan pemilik syarikat, apabila memberi ruang kempen kepada Abang Johari, ketika sepatutnya diblackout. Mohammad Kassim (kini Datuk) lebih dahulu diarahkan berhenti kerana usikan nakalnya kepada stail kepimpinan tertinggi ketika itu.

Pun begitu, Utusan Sarawak merupakan akhbar penting pada waktu itu, kerana fungsinya menyebarkan dasar-dasar kerajaan, serta dasar serta pendirian PBB.

Malah pada pilihan raya, edarannya ditingkatkan berkali-kali ganda di samping Jiwa Bakti (akhbar dalaman PBB) untuk diedarkan secara percuma kepada penduduk Sarawak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU