ARTIKEL

Rashidah menyampaikan plak penghargaan kepada wakil salah satu vendor OGSE Sarawak sambil disaksikan oleh Awang Tengah (tengah), Bacho (kanan) serta tetamu kehormat lain.

Vendor OGSE Sarawak Raih Kontrak RM49.31 Bilion Sejak 2014

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Vendor Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Sarawak memperoleh kontrak bernilai RM49.31 bilion daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) bagi tempoh 2014 hingga Mac 2026, dengan kira-kira 60 peratus daripada kontrak tersebut dilaksanakan di Sarawak.

Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia memastikan sebahagian besar nilai ekonomi yang dijana terus kekal dalam ekonomi negeri, sekali gus mencerminkan peningkatan kredibiliti, keupayaan dan daya saing syarikat-syarikat berpangkalan di Sarawak dalam menyokong aktiviti huluan yang semakin kompleks.

“Pada suku pertama 2026 sahaja, seramai 267 vendor Sarawak berjaya memperoleh kontrak bernilai RM1.57 bilion, mewakili lebih 32 peratus daripada keseluruhan kerja yang dianugerahkan di Sarawak.

“Pencapaian ini turut disokong oleh pelaburan terkumpul sektor huluan yang melebihi RM310 bilion sehingga suku keempat 2025,” katanya berucap pada Majlis Memperingati Vendor OGSE 2026 anjuran Petronas di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Hadir sama Naib Presiden Kanan, Pengurusan Petroleum Malaysia, Petronas Datuk Ir. Bacho Pilong dan Naib Presiden Perolehan Kumpulan, Petronas Rashidah Alias.

Justeru, Awang Tengah menyifatkan pencapaian itu amat bermakna memandangkan landskap tenaga global terus mengalami perubahan akibat ketidaktentuan geopolitik, perubahan dinamik pasaran serta peralihan tenaga yang semakin pesat, menekankan kepentingan keupayaan domestik berdaya tahan dan rantaian bekalan yang kukuh.

“Dalam era keselamatan tenaga dan kelestarian menjadi keutamaan strategik, Sarawak perlu terus membangunkan ekosistem yang tangkas, inovatif dan bersedia menghadapi masa depan.

“Dalam hal ini, komitmen berterusan Petronas dalam membangunkan ekosistem vendor yang berdaya tahan dan mampan amat penting,” katanya.

Sementara itu, Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata Sarawak juga akan terus memperkukuh kedudukannya sebagai negeri petro-elektrik hibrid dengan memanfaatkan kekuatan dalam gas asli, tenaga boleh diperbaharui dan hidrogen bagi memastikan daya saing dalam masa depan rendah karbon.

Katanya aspirasi itu turut disokong kelebihan semula jadi yang luar biasa, dengan Sarawak memiliki lebih 60 peratus rizab gas asli Malaysia, lebih 65 peratus potensi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) negara serta menerajui peralihan tenaga boleh diperbaharui Malaysia melalui tenaga hidro dengan sasaran mencapai kapasiti tenaga boleh diperbaharui sebanyak 10,000 megawatt menjelang 2030.

Pada masa yang sama, beliau merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II berkata Sarawak terus memperluas kesalinghubungan serantau menerusi inisiatif seperti Grid Borneo, Grid Tenaga ASEAN serta eksport tenaga elektrik rentas sempadan.

Menjelas lanjut, beliau berkata kesemua perkembangan itu mewujudkan peluang baharu di sepanjang rantaian nilai tenaga, meningkatkan permintaan ke atas perkhidmatan khusus, teknologi canggih dan kepakaran bernilai tinggi.

“Di sinilah industri OGSE tempatan memainkan peranan yang lebih strategik. Untuk merealisasikan aspirasi Sarawak, kita memerlukan syarikat tempatan yang bukan sahaja mempunyai kecekapan teknikal, malah keupayaan untuk berinovasi, mengadaptasi teknologi baharu dan menyediakan penyelesaian yang memenuhi piawaian antarabangsa.

“Ketika industri semakin dipacu teknologi, pendigitalan, automasi dan kecerdasan buatan akan menjadi pemangkin utama kepada peningkatan produktiviti, kecemerlangan operasi dan daya saing jangka panjang.

“Lebih penting, keupayaan ini akan meletakkan syarikat-syarikat Sarawak pada kedudukan yang lebih baik untuk merebut peluang di luar negara serta menyertai rantaian nilai tenaga di peringkat serantau dan global dengan lebih aktif,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU