KUCHING: Lebih tiga dekad menggalas amanah sebagai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agnes Ngata Langu bukan sahaja menyaksikan perubahan landskap keselamatan di Sarawak, malah menjadi antara anggota polis wanita yang diberi tanggungjawab mengendalikan tahanan ketika menjalankan tugas.
Berasal dari Sri Aman, veteran polis wanita berusia 79 tahun ini memulakan kerjayanya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada usia 19 tahun selepas berjaya dalam temu duga sebelum mengikuti latihan asas selama tujuh bulan di Kuala Lumpur bersama 24 lagi rekrut dari Sarawak.

Kemudahan latihan PDRM di Sarawak masih terhad ketika itu dan ramai rekrut dari Sabah dan Sarawak dihantar ke Semenanjung Malaysia termasuk ke Kuala Lumpur untuk menjalani latihan asas di pusat latihan PDRM sebelum kembali bertugas di negeri masing-masing.
Disebabkan itu beliau berkata, selepas menamatkan latihan, kesemua peserta ditempatkan mengikut kawasan masing-masing dengan beliau memulakan perkhidmatan di Sri Aman.
“Semasa kami balik ke Sarawak, mereka yang berasal dari Kuching dihantar ke Kuching, yang di Limbang ke Limbang, yang di Miri ke Miri, manakala saya kembali bertugas di Sri Aman,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Perbarisan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sarawak di Dataran Perayaan Petra Jaya hari ini.
Majlis diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi serta Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah mewakili Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Bagaimanapun, beliau hanya berkhidmat di Sri Aman kira-kira setahun sebelum dipindahkan ke Sibu apabila Rajang Area Security Command (RASCOM) diwujudkan.
Menurut Agnes, penugasan di Sibu menjadi antara fasa paling panjang dalam kerjayanya apabila beliau ditempatkan di bahagian yang mengendalikan tahanan sehingga sekitar 1990 sebelum kembali bertugas di Sri Aman.

Selain bertugas menjaga tahanan, beliau turut mengikuti pegawai atasannya memasuki kawasan hutan di sekitar Lubok Antu dan Pantu bagi membantu operasi menahan tahanan yang bersembunyi di kawasan berkenaan.
“Saya kembali menjaga tahanan. Itulah tugas saya sepanjang bertugas di Sri Aman dan di Sibu,” katanya.
Beliau berkata, apabila keadaan kembali aman dan individu yang terbabit dalam pemberontakan menyerah diri, beliau kemudiannya ditugaskan di ibu pejabat sama ada di Sri Aman atau di Sibu.
Menurut Agnes, setiap kali berlaku tangkapan baharu, khususnya membabitkan wanita, beliau akan dipanggil untuk mengendalikan tahanan berkenaan kerana kebanyakan anggota polis wanita ketika itu bertugas di pejabat.
“Saya tidak pernah memilih tugas. Kalau ada tahanan, mereka akan panggil saya. Apa-apa sahaja amanah yang diberikan, saya laksanakan,” katanya.
Menurut Agnes, sepanjang mengendalikan tahanan termasuk mereka yang dikaitkan dengan komunis dan wanita yang ditahan dalam pelbagai kes, beliau tidak pernah berdepan sebarang ancaman atau kejadian yang membahayakan dirinya.
“Mereka memberikan kerjasama yang baik. Ada yang berkawan dengan kami dan meminta nasihat berkaitan kesalahan yang telah mereka lakukan,” katanya.
Beliau mengakui peluang kenaikan pangkat bagi anggota polis wanita ketika itu tidak semudah hari ini, namun perkara tersebut tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus berkhidmat sehingga bersara sekitar usia lebih 50-an dengan pangkat koperal.
Mengulas perkembangan semasa, Agnes berkata beliau berasa gembira melihat semakin ramai wanita menyertai pasukan polis berbanding ketika beliau memulakan kerjaya lebih tiga dekad lalu.
Baginya, perubahan ini mencerminkan perkembangan positif peranan wanita dalam pasukan keselamatan, sekali gus memberi lebih banyak peluang kepada generasi baharu untuk meneruskan khidmat bakti kepada masyarakat dan negara.



