TIGA tonggak utama berjaya membantu memperkukuh penguasaan pasukan Visilio A dari Kabong untuk bergelar juara pada Kejohanan Bola Sepak Pantai Wanita 2023 di Pantai Tanjung Kembang, semalam.
Mereka ialah Jennifer, Izdihar Syamimi dan Dayang Mulianie.
Pada kejohanan anjuran Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kabong dengan kerjasama Pusat Khidmat ADUN Kabong itu, mereka berjaya membawa pulang wang tunai RM800 serta piala dan pingat.
Bagi Jennifer yang menerima Anugerah Penjaring Terbanyak berjaya meledakkan 13 gol.
Sementara Izdihar Syamimi Alwi dan Dayang Mulianie Awang Zamree masing-masing dianugerahkan sebagai pemain terbaik dan penjaga gawang terbaik. Ketiga-tiga mereka menerima hadiah RM50.
Sementara naib juara disandang oleh ZORO FT, sekali gus memenangi hadiah RM600 serta piala dan pingat.
Manakala Kabong Visilio B yang terpaksa berpuas hati di kedudukan ketiga menerima hadiah RM400 serta piala dan pingat.
Diikuti pasukan NAYAKA FT di tangga keempat turut pulang dengan hadiah RM200 serta piala dan pingat.
Untuk empat pasukan lain yang kurang bernasib baik juga diberikan hadiah sagu hati masing-masing RM100, iaitu pasukan Klinik Kesihatan Kabong, Pasukan Gesek Jak, Belia PBB dan Team Pak Maon.
Kesemua hadiah disampaikan oleh ADUN Kabong Mohd Chee Kadir yang hadir ditemani isteri, Meryani Yassin.
Menurut Chee, pada awal bulan lalu pasukan D’Fath dinobatkan sebagai juara Kejohanan Bola Sepak Pantai Kabong 2023.
“Kali ini giliran kaum wanita dan nampaknya bola sepak pantai boleh menjadi satu lagi tarikan baharu di Pantai Tanjung Kembang.
“Insya-Allah pada masa akan datang saya akan terus menyokong kejohanan seperti ini.
“Saya percaya ia boleh menjadi serampang dua mata, bukan sahaja sebagai aktiviti berfaedah kepada anak muda, dalam masa yang sama membantu mempromosikan lagi pantai yang cukup popular dengan Festival Layang-Layang Antarabangsa Kabong (KIKF),” katanya.
Jelasnya, jika dalam Bahagian Betong Kabong antara lokasi paling ideal penganjuran bola sepak pantai ekoran Pantai Tanjung Kembang mempunyai kemudahan yang mencukupi di samping keadaan pantai yang terjaga.
Sebanyak lapan pasukan menyertai Kejohanan Bola Sepak Pantai Wanita 2023.
Dalam perkembangan berasingan, Chee turut merasmikan Pertandingan Petanque Double Jemputan Bersempena Sambutan Hari Malaysia di Arena Petanque, Pantai Tanjung Kembang.
“Selain fokus memeriahkan hujung minggu bersempena cuti sambutan Hari Malaysia, fokus kita melahirkan bakat muda dan menjadikan petanque sebagai sukan utama di Kabong,” ujarnya.
Untuk rekod, 39 pasukan dari Saratok, Bintagor, Sarikei, Sibu dan Kabong sendiri menyertai pertandingan anjuran Pusat Khidmat ADUN Kabong dengan kerjasama Kelab Petanque Kabong.
Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Saratok merangkap Timbalan Ketua Cawangan Parti PBB Kabong Kaunselor Johan Rahman, Ketua Pergerakan Wanita Parti PBB Cawangan Kabong Normah Ahmadi, Kelab Petanque Saratok Abang Shamssudin Abang Ahmad dan Pengerusi Kelab Petanque Kabong Ahmad Nazry Maini turut hadir sama.