BARU-BARU ini, saya berkesempatan mengunjungi rumah Ahli Dewan Undangan Negeri Daro, Safi ee Ahmad di Lorong Pak Aji, Jalan Itol, Daro, sempena sambutan Aidilfi tri. Kunjungan yang tidak dirancang ini ternyata membawa pengalaman yang sangat bermakna.
Kedatangan saya disambut dengan penuh mesra.
Sifatnya yang mudah didekati, berjiwa rakyat, dan sentiasa murah dengan senyuman menjadikan pertemuan kami berlangsung dalam suasana santai, namun sarat dengan perkongsian yang bermanfaat.

Di kediamannya, beliau berkongsi pelbagai cerita, khususnya mengenai kemajuan pesat yang kini dikecapi oleh Daerah Daro.
Beliau terkejut apabila mengetahui saya berasal dari Kampung Baru, Daro memandangkan kami jarang bersua muka, lebih-lebih lagi saya kini berkhidmat di Kuching.
Kali terakhir saya pulang ke Daro adalah lebih 10 tahun lalu, selepas pemergian nenek tercinta pada 2015. Kepulangan kali ini benarbenar membuka mata saya.
Banyak perubahan ketara yang saya saksikan — antaranya tebingan Sungai Daro yang kini dihias indah, lengkap dengan ikon ikan terubok dan slogannya yang unik, Daro Da’o, yang membawa makna ‘inilah Daro’ atau ‘Daro bagus’.
Satu lagi daya tarikan baharu ialah Medan Selera Daro yang dibina dengan reka bentuk berinspirasikan terendak atau seraong — topi tradisional kaum Melanau.
Ia bukan sahaja mencerminkan warisan etnik tempatan, malah menjadi mercu tanda ikonik di tebingan Sungai Daro.
Menempatkan 25 gerai dan dilengkapi dengan pentas mini, medan selera ini menjadi pusat kegiatan ekonomi dan sosial yang signifi kan, serta destinasi menarik untuk pengunjung dari luar. Projek bernilai RM3.3 juta ini bermula sejak 2015.
Dalam perbualan kami, YB Safi ee menzahirkan rasa syukur atas pelbagai pembangunan infrastruktur yang telah dan sedang dilaksanakan.
“Alhamdulillah, Daro kini sudah sesak,” ucapnya ringkas namun penuh makna.
Antaranya termasuk pembinaan jambatan dan jalan raya yang mempercepat perjalanan dari kawasan seperti Kuching, Sibu, dan Bintulu ke Daro.
Usaha ini bukan sahaja meningkatkan akses, malah merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.
Selain itu, salah satu projek penting yang sudah siap dibina ialah Jambatan Muara Lassa dirasmikan pada 22 Februari lalu oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Jambatan sepanjang 2.43 kilometer ini menghubungkan Daro dengan Pulau Bruit, menggantikan perkhidmatan feri yang digunakan sebelum ini.
Pembinaannya bermula pada 22 Mac 2019 dan siap sepenuhnya pada 9 Januari lalu.
Selain itu, beliau turut memaklumkan tentang kelulusan pembinaan Kompleks Pentadbiran Kerajaan Sarawak di Daro bernilai RM15 juta, yang dijangka bermula akhir tahun ini.
Kompleks ini bakal menempatkan pelbagai jabatan seperti Pejabat Daerah, Mahkamah Bumiputera, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pertanian dan Jabatan Kerja Raya — bagi memudahkan urusan rakyat.
YB Safi ee turut berkongsi tentang pembinaan jalan sepanjang 14 kilometer yang bakal menghubungkan tujuh rumah panjang di Batang Lassa, dengan peruntukan sebanyak RM95 juta.
Di samping itu, Sekolah Kebangsaan Batang Lassa akan dipindahkan ke tapak baharu seluas lapan ekar, lengkap dengan asrama dan kemudahan moden bagi memastikan keselesaan pelajar.
Satu lagi projek yang sangat dinanti-nantikan ialah Pembangunan Tebingan Sungai Daro (Waterfront Daro) di bawah Projek Rakyat, dengan kos siling RM35 juta.
Pembinaan sepanjang 410 meter ini dijangka menjadi satu lagi tarikan utama di kawasan tersebut.
Sebagai bekas pelajar Universiti Malaysia Sarawak yang pernah menjalani latihan industri di Pejabat Daerah Daro di bawah kepimpinan beliau, saya cukup mengenali ketegasan dan komitmen Safi ee.
Beliau dikenali sebagai pemimpin yang sentiasa menginginkan hasil terbaik dan mewajibkan kakitangan pejabat aktif dalam pelbagai aktiviti demi meningkatkan kecekapan dan kerjasama.
Pertemuan singkat, namun penuh makna ini mengukuhkan lagi keyakinan saya terhadap hala tuju pembangunan Daro.
Dengan pelbagai projek yang sedang dan akan dilaksanakan, Daro bukan sahaja sedang berubah rupa, tetapi juga sedang menapak maju ke hadapan di bawah kepimpinan Safi ee Ahmad yang berdedikasi.
Sesungguhnya, Daro sedang melakar masa depan yang cerah — untuk rakyatnya hari ini dan generasi yang akan datang.
Tahniah kepada YB Safi ee kerana Daro jauh berubah di bawah pimpinan beliau.



