NAMA Pusa bukan asing, bahkan cukup popular jika disebut Tandang Sari dalam kerajaan Saribas suatu ketika dahulu. Betul ada kaitannya.
Daerah ini yang pernah menjadi sebahagian daripada sejarah penting itu kini berada di landasan baharu untuk berkembang sebagai salah satu pusat pertumbuhan luar bandar yang berpotensi.
Diiktiraf sebagai daerah penuh pada 2015, Pusa hari ini sangat dikenali sebagai kawasan pertanian dan perikanan, dan turut mencipta nama sebagai kawasan yang mempunyai hubungan strategik hasil pembangunan infrastruktur, khususnya pembinaan beberapa jambatan mega yang membuka lebih banyak laluan ekonomi dan sosial.
Lima jambatan utama yang menghubungkan Pusa dengan kawasan sekitar menjadi pemangkin kepada perubahan besar daerah ini.
Empat daripadanya telah siap iaitu Jambatan Tandang Sari, Jambatan Batang Saribas I, Jambatan Sungai Krian dan Jambatan Batang Lupar I, manakala Jambatan Batang Saribas II kini dalam pembinaan.
Kewujudan rangkaian jambatan ini telah memendekkan jarak perjalanan dan dalam masa yang sama membawa perubahan besar terhadap cara masyarakat berinteraksi, menjalankan perniagaan dan meneroka peluang ekonomi baharu.
Bagi penduduk tempatan, perubahan yang berlaku di Pusa hari ini dapat dilihat dengan jelas berbanding beberapa dekad lalu.
Sebelum menikmati kemudahan infrastruktur moden seperti hari ini, Pusa suatu ketika dahulu merupakan sebuah pekan kecil yang bergantung kepada laluan sungai sebagai nadi utama perhubungan.
Kedudukan Pusa yang berhampiran kawasan sungai menjadikannya antara lokasi penting dalam sejarah Saribas.
Sungai menjadi laluan pengangkutan, malah menjadi tempat masyarakat menjalankan aktiviti perdagangan, membawa hasil pertanian dan perikanan serta menghubungkan kampungkampung sekitar.
Pusa juga sering dikaitkan dengan Tandang Sari, yang pernah menjadi ibu negeri Saribas suatu ketika dahulu.
Kedudukan sejarah ini memberikan nilai tersendiri kepada kawasan tersebut kerana ia menggambarkan peranan Pusa sebagai salah satu kawasan yang mempunyai kepentingan pentadbiran dan perdagangan pada masa lampau.
Namun, seperti kebanyakan kawasan luar bandar lain, perkembangan Pusa pada masa lalu agak terbatas akibat faktor jarak, kekangan perhubungan dan kebergantungan kepada pengangkutan sungai.
Perjalanan ke kawasan lain memerlukan masa lebih panjang, sekali gus memberi kesan terhadap pertumbuhan ekonomi tempatan. Aktiviti perniagaan juga lebih tertumpu kepada keperluan asas masyarakat setempat.
Bagi generasi terdahulu, Pusa dikenali sebagai sebuah pekan yang sederhana, dengan kehidupan masyarakat banyak bergantung kepada sektor tradisional seperti pertanian, perikanan dan perusahaan kecilkecilan.
Hari ini, wajah Pusa semakin berubah.
Pembukaan jaringan jambatan telah membawa Pusa keluar daripada keterasingan fizikal. Jika dahulu perjalanan antara kawasan banyak bergantung kepada laluan sungai, kini masyarakat menikmati kemudahan jalan raya yang lebih baik dan akses lebih pantas ke kawasan sekitar. Perubahan ini dapat dilihat melalui peningkatan aktiviti ekonomi di pekan Pusa.
Pasar Pusa, sama ada pasar basah mahupun pasar kering, semakin menjadi tumpuan bukan sahaja penduduk tempatan tetapi juga pengunjung dari kawasan luar.
Pelbagai dialek dan loghat dapat didengar, menunjukkan kehadiran masyarakat daripada pelbagai kawasan yang datang untuk membeli, berniaga atau mendapatkan perkhidmatan.
Lebih menarik, ramai pengunjung kini mencari produk ikonik Pusa yang mempunyai nilai tersendiri. Ini membuktikan identiti tempatan mampu menjadi aset ekonomi sekiranya dikembangkan dengan strategi yang betul.
Kehadiran lebih ramai pengunjung turut memberi peluang kepada peniaga kecil, pengusaha makanan, usahawan tempatan dan pengeluar produk kampung untuk meningkatkan pendapatan.
Perubahan ini menunjukkan pembangunan infrastruktur memberi kesan berganda kepada masyarakat. Ia bukan sahaja memudahkan perjalanan, tetapi membuka ruang untuk pertumbuhan ekonomi.
Walaupun perubahan yang berlaku tidak terlalu ketara, Pusa sebenarnya masih berada dalam fasa transformasi aktif.
Selepas lebih tiga dekad menyaksikan pelbagai perubahan, Pusa kini mempunyai asas yang lebih kukuh untuk berkembang menjadi sebuah pekan luar bandar moden.
Keistimewaan Pusa terletak pada gabungan faktor sejarah, lokasi strategik, sumber semula jadi serta kekuatan komuniti tempatan. Ia tidak wajar lagi dilihat sebagai kawasan yang ketinggalan kerana pembangunan yang berlaku menunjukkan Pusa mempunyai potensi besar untuk menjadi pusat ekonomi baharu di kawasan pesisir dan luar bandar Sarawak. Namun, pembangunan fizikal sahaja tidak mencukupi.
Pusa memerlukan perancangan menyeluruh supaya kemajuan yang dicapai dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat.
Oleh yang demikian, bagi memastikan Pusa benar-benar muncul sebagai pekan luar bandar yang maju, beberapa aspek perlu diberikan perhatian berterusan oleh kerajaan. Satu perkara penting ialah pembangunan infrastruktur sokongan perlu diperkukuhkan.
Selain jambatan dan jalan raya, kemudahan seperti sistem pengangkutan awam, kawasan parkir, pencahayaan jalan, kemudahan digital serta penyelenggaraan infrastruktur perlu diberi perhatian agar pertumbuhan dapat berlaku secara teratur.
Dalam masa sama, Pusa perlu mempunyai perancangan ekonomi yang lebih tersusun. Kerajaan boleh membantu mewujudkan lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan melalui pusat pembangunan perniagaan, ruang niaga moden dan program peningkatan kemahiran.
Produk tempatan yang menjadi identiti Pusa perlu diberi penjenamaan lebih agresif supaya mampu menembusi pasaran lebih luas. Konsep pelancongan berasaskan komuniti juga boleh diteroka dengan mengetengahkan sejarah Tandang Sari, budaya masyarakat tempatan, makanan tradisional dan keindahan alam sekitar.
Sektor pertanian dan perikanan pula perlu dimodenkan. Pusa mempunyai sumber semula jadi yang boleh menjadi kekuatan ekonomi, justeru dengan bantuan teknologi, latihan dan akses pasaran, pengusaha tempatan boleh meningkatkan pengeluaran serta pendapatan.
Peluang pekerjaan kepada golongan muda perlu diberi perhatian. Pembangunan tidak akan lengkap sekiranya anak muda terpaksa berhijrah kerana kekurangan peluang.
Pelaburan baharu, perusahaan kecil dan sederhana serta aktiviti ekonomi kreatif juga perlu digalakkan.
Selain itu, pendidikan dan kemahiran juga perlu menjadi agenda utama, memandangkan generasi muda Pusa perlu diberikan peluang untuk menguasai bidang baharu yang selari dengan perkembangan ekonomi masa kini seperti teknologi digital, keusahawanan dan industri moden. Tuntasnya, Pusa hari ini bukan lagi Pusa yang dikenali beberapa dekad lalu.
Daripada sebuah pekan kecil yang bergantung kepada sungai sebagai laluan utama, Pusa kini muncul sebagai kawasan yang semakin mudah diakses, lebih terbuka dan mempunyai potensi pertumbuhan yang besar.
Melihat pekan yang dahulunya sederhana kini semakin sibuk dengan aktiviti ekonomi dan kehadiran pengunjung adalah bukti pembangunan membawa perubahan nyata.
Namun, perjalanan Pusa masih panjang. Dengan perancangan yang tepat, kerjasama kerajaan, sokongan masyarakat dan keberanian meneroka peluang baharu, Pusa berpotensi menjadi contoh kejayaan transformasi luar bandar di Sarawak.
Pusa bukan sekadar sebuah daerah yang mempunyai jambatan menghubungkan kawasan sekitarnya, tetapi sebuah tanah yang sedang membina jambatan menuju masa depan yang lebih maju.


