Wanita cabar pelaut lelaki

MIRI: Akademi Maritim Pelita Maslaut (PMSB) mula menerima kemasukan pelatih wanita pertama yang berminat menceburi bidang perkapalan.

Pengarah Urusan PMSB Masni Amit berkata, pihaknya tidak menyangka ada wanita yang berminat menyertai bidang perkapalan yang lebih dikuasai lelaki.

“Saya berasa bangga kerana ada golongan wanita berminat menceburi bidang perkapalan atau dek kapal yang membuktikan golongan itu boleh bersaing dengan kaum lelaki,” katanya kepada pemberita.

Masni Amit berkata, kemasukan pelatih wanita antara cabaran baharu PMSB bagi menempatkan mereka menjalani latihan industri dengan syarikat perkapalan.

“Kita perlu memberi peluang dan ruang kepada golongan wanita untuk mengubah taraf hidup mereka menerusi bidang perkapalan.

Meskipun lasak, bidang ini mampu menjanjikan pendapatan kepada warga tempatan khasnya mereka yang ingin keluar dari kepompong kemiskinan,” katanya.

Masni menjelaskan, kemasukan pelatih wanita iaitu Noor Aisyah Halim, 23, dari Dalat merupakan projek perintis penglibatan kaum wanita dalam bidang maritim.

“Jika Noor Aisyah mampu melakukannya dan membuktikan kejayaannya ke tahap lebih tinggi, maka kita akan mula menerima pelatih wanita sebaik sahaja bangunan akademi siap awal 2022,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Noor Aisyah berkata, minatnya dalam bidang maritim menyebabkannya mahu mencabar diri untuk mendapatkan sijil pengiftirafan PMSB.

“Saya sebelum ini pernah bekerja di kapal dan memiliki kelulusan diploma, namun minat yang mendalam dalam bidang maritim ini mendorong saya untuk menaik taraf sijil maritim,” katanya.

Ditanya berkenaan cabaran yang bakal dihadapinya kelak, Siti Aisyah menjelaskan dia ingin membuktikan bahawa kaum wanita juga mampu bersaing dalam bidang dikuasai kaum lelaki.

“Meskipun bidang perkapalan atau dek kapal ini lasak, namun dengan pengalaman yang ada, saya mahu membuktikan saya mampu melakukan aktiviti lasak,” ujarnya.

Seorang lagi pelatih Penan, Spakcy Tabi, 25, berkata, minatnya dalam bidang maritim membawanya ke bandar untuk menimba ilmu perkapalan.

Berasal dari Belaga, Spakcy mengakui ramai orang kampungnya melibatkan diri dalam bidang perkapalan bagi mengubah taraf hidup.

Sementara itu, seramai 23 pelatih baharu yang mengambil bidang dek kapal mula mendaftar dan belajar selama tujuh minggu sebelum menjalani latihan praktikal selama enam bulan.

Suara Sarawak