
BAU: Seorang wanita cedera ketika mendaki Bung Jagoi, di sini, diselamatkan bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) hari ini.
Wanita berumur 37 tahun itu dalam keadaan sedar tetapi mengalami kecederaan di bahagian pergelangan kaki kanan menyebabkan kesukaran untuk berjalan dan berdiri.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan dari APM kira-kira jam 10.18 pagi untuk bantuan membawa mangsa.
Sehubungan itu, katanya, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau bergegas ke lokasi kejadian.
“Pasukan penyelamat menggunakan teknik “Pick A Bag” dan “Two Rescuer Assist” untuk mengangkat mangsa sehingga sampai ke kaki bukit di Kampung Plaman Boawae, Bau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya diberikan rawatan awal oleh Unit EMRS sebelum dihantar ke Hospital Bau untuk rawatan lanjut.
Operasi tamat pada jam 2.52 petang.


