KUCHING: Pertubuhan Pengguna Sarawak (PPS) menggesa pihak berkuasa menyiasat satu kes aduan melibatkan perkhidmatan pembaikan rumah yang dipercayai menggunakan taktik ‘pemeriksaan percuma’ sebelum mengenakan caj tinggi kepada pengguna.
Kes itu melibatkan seorang wanita yang mendakwa mengalami kerugian RM3,000 selepas mendapatkan perkhidmatan pembaikan kebocoran yang diiklankan menerusi Facebook.
Presiden PPS, Dr. Wynson Ong Teck Ping berkata, pengadu memaklumkan dua lelaki warga asing hadir ke rumahnya pada 26 Mei lalu untuk melakukan pemeriksaan selepas pengadu menghubungi iklan berkenaan.
Bagaimanapun, tanpa pemeriksaan menyeluruh atau penggunaan peralatan yang sesuai, individu terbabit terus menyimpulkan punca masalah sebagai kebocoran dan mencadangkan kerja pembaikan menggunakan kaedah tertentu yang melibatkan kos tinggi.
“Pengadu mendakwa tidak diberikan sebut harga bertulis sebelum kerja dijalankan, sebaliknya hanya dimaklumkan mengenai kos selepas kerja siap, menyebabkan pengadu berada dalam keadaan tertekan sebelum bersetuju membuat bayaran.
“Bayaran tersebut dipindahkan ke akaun bank peribadi individu tempatan, bukan akaun syarikat yang jelas atau berdaftar.
“Bagaimanapun, masalah kebocoran berkenaan didakwa masih berlaku selepas kerja selesai, dan pihak terbabit gagal dihubungi semula,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Wynson, pengadu telah membuat laporan polis, namun dimaklumkan kes berkenaan dikategorikan sebagai pertikaian sivil.
“Walaupun siasatan lanjut diperlukan, kes berkenaan menunjukkan beberapa ciri yang membimbangkan.
“Jika hanya satu kes terpencil, ia mungkin pertikaian biasa. Namun apabila corak hampir sama muncul di beberapa lokasi termasuk Semenanjung Malaysia dan Sabah, ia wajar diberi perhatian serius,” katanya lagi.
Jelas beliau, semakan awal mendapati terdapat banyak aduan serupa yang melibatkan penggunaan iklan Facebook, tawaran pemeriksaan percuma serta ketiadaan maklumat syarikat yang jelas.
Tambahnya, antara persamaan yang dikenal pasti termasuk tiada sebut harga bertulis, cadangan kerja bernilai tinggi secara segera, kaedah caj yang sukar disahkan serta kegagalan menyelesaikan masalah.
Sehubungan itu, PPS menggesa Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia menjalankan siasatan bagi mengenal pasti identiti individu terlibat, status imigresen, kelayakan bekerja serta kemungkinan kewujudan rangkaian operasi antara negeri.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati, khususnya sebelum membenarkan individu tidak dikenali memasuki kediaman bagi tujuan pembaikan.
“Pengguna perlu memastikan identiti, latar belakang dan status syarikat disahkan terlebih dahulu bagi mengelakkan kerugian,” ujarnya.



