ARTIKEL

FOTO PDRM

Wanita disyaki pengedar dadah maut, rakan parah dalam kemalangan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

ALOR SETAR: Seorang wanita disyaki pengedar dadah maut manakala rakannya cedera parah selepas kereta Perodua Myvi yang dinaiki mereka terbabas di hadapan Pejabat Tanah, Jalan Suka Menanti, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Syed Basri Syed Ali, berkata dalam kejadian pada 8.20 malam itu, wanita berusia 33 tahun maut di tempat kejadian manakala rakannya berusia 37 tahun cedera parah.

“Ketika sedang menjalankan operasi Op Gempur di kawasan berkenaan, anggota bertugas mengesan sebuah kereta yang dinaiki kedua-dua wanita itu dalam keadaan mencurigakan. Polis mengejar kenderaan terbabit sebelum berlakunya kemalangan.

“Akibat kejadian itu, seorang daripada suspek meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi cedera parah. Hasil pemeriksaan lanjut menemukan plastik berisi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 210 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek yang memandu kereta dan mengalami kecederaan parah mempunyai 12 rekod lampau berkaitan dadah, manakala suspek yang maut memiliki tiga rekod lampau kes dadah dan satu kes jenayah.

“Mayat wanita itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, di sini, untuk tindakan lanjut manakala rakannya yang parah dirawat di hospital sama.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU