KOTA BHARU, Kelantan: Polis menahan seorang wanita yang disyaki menyeludup dan memiliki 80 botol berisi heroin dan sejumlah pil yaba yang dianggarkan bernilai RM182,000 di Pasir Puteh, semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Supt Zaizul Rizal Zakaria, berkata wanita berusia 37 tahun itu ditahan pada 2.10 petang di sebuah kandang lembu di Kampung Lembah, Cherang Ruku.
Beliau berkata saringan air kencing mendapati wanita itu negatif dadah.
“Wanita itu direman seminggu bermula hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” menurutnya dalam satu kenyataan pada hari ini. – BERNAMA

