Kanak-kanak berusia dua tahun antara lima maut kemalangan di Sibu

Trending

Wanita Thailand didakwa bunuh 13 orang

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

BANGKOK: Polis Thailand meluaskan penyiasatan mereka terhadap seorang wanita yang dituduh melakukan beberapa pembunuhan dengan racun Sianida, dengan pegawai pada Khamis menaikkan jumlah mangsa kepada 13 dan mendakwa wanita terbabit melakukan pembunuhan dirancang.

Sararat Rangsiwuthaporn, yang berkahwin dengan seorang pegawai kanan polis, ditangkap pada Selasa lalu atas sembilan dakwaan pembunuhan yang berlaku dalam tempoh beberapa tahun.

Polis percaya pembunuhan itu bermotifkan wang tetapi mengatakan Sararat yang hamil empat bulan sebelum ini didiagnosis dengan masalah psikiatri.

Pegawai kini menyiasat sekurang-kurangnya 13 kematian yang mencurigakan sejak 2020, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Surachate Hakparn pada Khamis.

“Wanita itu didakwa dengan pertuduhan membunuh yang dirancang,” katanya kepada pemberita di Bangkok.

Agensi penyiaran menunjukkan Sararat diapit oleh pegawai ketika dia dibawa dari balai polis Bangkok ke pusat tahanan pada Rabu.

Polis tidak menyatakan jumlah pertuduhan pembunuhan dikenakan ke atas wanita itu, tetapi mereka mengatakan dia menafikan semua dakwaan terhadapnya.

Pegawai juga memperluas kawasan siasatan ke lima wilayah, kebanyakannya ke barat Bangkok.

Baca lain  Kerajaan Hong Kong kutuk keganasan pemprotes

Pegawai turut menemukan bahan di rumah wanita itu yang dipercayai pihak berkuasa sebagai Sianida, dan mengesyaki dia meracuni makanan dan minuman mangsa.

Susulan pemeriksaan kesihatan rutin di penjara, Jabatan Pembetulan mengesahkan bahawa Sararat hamil empat bulan dan mengalami tekanan jiwa, mata kabur dan sakit kepala.

Penyiasat turut menemu bual pegawai polis yang merupakan suami wanita itu dan saksi lain.

Menurut polis, mangsa ke-14 terselamat daripada kematian selepas memuntahkan makanan beracun.

“Suspek memujuk mangsa terbaharunya untuk memakan herba dan kira-kira 20 minit kemudian mangsa rebah,” kata Surachate.

Surachate menggesa orang ramai menghubungi polis dengan sebarang maklumat berkenaan kes lain yang berpotensi.

Polis pada mulanya mengesyaki wanita itu membunuh rakannya di wilayah Ratchaburi, barat Bangkok, kira-kira dua minggu lalu.

Menurut media tempatan, mangsa rebah di tebing Sungai Mae Klong selepas melepaskan ikan sebagai sebahagian daripada upacara Buddha. Selepas menyoal suspek, penyiasat mengaitkannya dengan kes keracunan Sianida lain.

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

6 Jun 2023

Berita Terbaru