KUALA LUMPUR: Wanita UMNO perlu lebih berani membawa suara wanita dan keluarga, memahami keresahan rakyat serta mendekati generasi baharu bagi membantu memperkukuh keyakinan rakyat terhadap parti itu.
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata peranan sayap berkenaan perlu berkembang seiring perubahan medan perjuangan, selain terus menjadi antara kekuatan utama parti dalam pelbagai keadaan.
Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, Wanita UMNO bukan sekadar tulang belakang parti, malah antara wajah UMNO yang paling dekat dengan masyarakat di peringkat negeri, bahagian dan cawangan.
Beliau turut menghargai kesetiaan serta pengorbanan anggota Wanita UMNO yang terus bersama parti ketika berdepan pelbagai cabaran, selain menzahirkan penghargaan sempena ulang tahun ke-77 sayap berkenaan.
Ahmad Zahid berharap Wanita UMNO terus memainkan peranan sebagai kekuatan yang menyatukan masyarakat dan menjadi nadi perjuangan parti, dengan membawa UMNO bergerak ke hadapan seperti dilapor Bernama.

