MIRI: Seorang wanita warga asing ditemui mati di tepi sungai, belakang UMW Jalan Krokop 10 Miri, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira jam 9.03 pagi daripada orang awam yang menemukan mayat mangsa berusia 34 tahun itu.
“Setibanya di lokasi kejadian iaitu kawasan kapal berlabuh, pihak polis menemui mangsa yang lengkap berpakaian dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri.
“Pegawai perubatan dari Hospital Miri telah mengesahkan kematian mangsa dan hasil pemeriksaan ke atas badan mangsa serta tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Alexson berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Miri untuk bedah siasat bagi mengenal punca kematiannya.
Beliau berkata, satu kertas siasatan Mati Mengejut (SDR) telah dibuka bagi mengenal pasti punca kematian.
Sehubungan itu katanya, pihak polis menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kes ini kerana ia boleh menganggu siasatan.
“Sementara idividu yang mempunyai sebarang maklumat lanjut berkaitan kes ini diminta untuk tampil ke balai polis berdekatan untuk menyalurkan maklumat,” tambahnya.




