IPOH: Seorang wanita warga emas berusia 73 tahun ditemukan meninggal dunia di tepi tebing sungai di Kampung Pulau Damar, Sungai Ara, dekat Batu Kurau, malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan bantuan daripada polis pada 8.57 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Kurau tiba di lokasi, 20 minit kemudian.
Beliau berkata mangsa dikenali sebagai Nawiah Saari, ditemukan berada di tepi tebing sungai sebelum anggota bomba menjalankan operasi mengeluarkan mayat menggunakan bucket stretcher.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata operasi terbabit ditamatkan sepenuhnya pada 10.20 malam.


