KUCHING: Sokongan Parti Demokratik Progresif (PDP) Piasau kepada Datuk Sebastian Ting Chiew Yew bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak ke-13 memperlihatkan kesepakatan parti itu untuk memastikan jentera komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) bergerak seiring.
Pendirian itu dicapai menerusi mesyuarat PDP Piasau malam tadi, dengan pengerusinya, Jaya Ramba menegaskan komitmen parti itu untuk memberikan sokongan penuh kepada Sebastian yang mewakili SUPP.
Beliau menjelaskan, perbezaan parti dalam GPS tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kerjasama, sebaliknya semua komponen perlu menghormati keputusan kepimpinan gabungan dan mengutamakan kepentingan bersama.
“Saya selaku Pengerusi PDP Piasau akan sentiasa berada di belakang Datuk Sebastian Ting. Apabila keputusan kepimpinan GPS ditetapkan, kita perlu bergerak sebagai satu pasukan tanpa mengutamakan kepentingan individu,” katanya dalam kenyataan.
Ting yang juga penyandang kerusi DUN Piasau berjaya mempertahankan kerusi itu pada PRU 2021 dengan memperoleh 6,790 undi dan majoriti 4,988 undi dalam pertandingan lima penjuru.
Selain itu, Jaya berkata, PDP Piasau akan menterjemahkan sokongan itu melalui kerjasama jentera parti di peringkat akar umbi, termasuk menggerakkan ahli dan pimpinan untuk bersama-sama menghadapi pilihan raya.
Beliau turut menyeru semua exco, pemimpin akar umbi dan ahli PDP Piasau supaya menerima keputusan berkenaan serta memberikan kerjasama kepada jentera GPS di kawasan itu.
Katanya, kesatuan antara parti komponen penting bagi memastikan agenda pembangunan Sarawak dapat diteruskan, selain aspirasi masyarakat Piasau terus diberikan perhatian.

